Muar: Jiran kepada dua beranak yang ditemui mati dalam kediamannya di Taman Indah, Sungai Abong curiga selepas kelibat lelaki itu tidak kelihatan seperti biasa dengan menunggang basikal di persekitaran taman perumahan terbabit.
Namun, sebaik melangkah ke dalam pagar rumah jiran, Nili Zahrah Las, 63, melihat air hitam mengalir keluar ke tepi pintu rumah terbabit.

Menurutnya, waktu itu dia tidak menyedari ada kematian berlaku dalam rumah terbabit memandangkan terdapat seorang wanita yang juga anak kepada warga emas itu sedang berada dalam rumahnya.
“Pada mulanya saya nampak baju di sebelahnya, tapi tak perasan itu mayat adiknya. Saya hanya lihat air hitam mengalir keluar tepi pintu.
“Saya menghampiri rumahnya dan melihat anak perempuan berada di tengah-tengah dalam rumah, saya pun tanyalah dia, mana ‘uncle’ (panggilan mesra lelaki warga emas)?
“Tapi, anak perempuannya dia hanya berdiam diri. Saya dah mula curiga lalu menghubungi NGO (pertubuhan kebajikan) kerana saya diamanahkan mereka untuk memantau tiga beranak ini,” katanya ketika ditemui.
Katanya lagi, sebaik NGO itu tiba di rumah, dia terkejut apabila mendapati dua daripadanya sudah meninggal dunia.
Katanya, dia amat mengenali mereka sekeluarga dengan bapanya amat mesra dengannya yang mana akan menegur setiap kali melalui hadapan rumahnya.
“Memang saya selalu menjenguknya di rumah namun pada hari penemuan mayatnya, saya tidak nampak basikal yang dia selalu ditunggang.
“Saya dah lama perasan selepas tiga atau empat hari dia tidak keluar rumah. Saya ingatkan dia keluar ke mana-mana atau bersarapan.
“Mereka hanya tinggal bertiga kerana isterinya sudah lama meninggal dunia. Isterinya juga orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Menurut Nili lagi, bapa dua beranak itu pernah ditimpa kemalangan jalan raya awal tahun ini.
“Rumahnya kadang kala dikunjungi saudara yang menghantar makanan kepada mereka bertiga,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan pihak menerima laporan mengenai penemuan dua mayat dalam rumah, Jumaat lalu.
Beliau berkata, turut ditemui seorang anak perempuan berusia 44 tahun dalam rumah itu dengan keadaan tidak bermaya dipercayai kelaparan.
“Bedah siasat ke atas jenazah bapa dan anak berusia 76 dan 37 tahun sudah selesai. Kes kekal diklasifikasikan mati mengejut.
“Namun mayat belum boleh dituntut kerana masih menunggu keputusan DNA (asid deoksiribonukleik).
“Anak perempuannya pula masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, di sini dan dalam proses untuk dituntut saudara terdekat,” katanya.