Jasin: Seorang pemandu jengkaut maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Rim, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kumpulan lelaki terbabit turut bertindak mengejar mangsa yang dalam perjalanan Hospital Jasin bagi menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, selepas diserang kumpulan lelaki terbabit, mangsa sempat menghubungi adik lelakinya yang berusia 22 tahun bagi mendapatkan pertolongan.
Katanya, selepas menurunkan abangnya di Jabatan Kecemasan, kenderaan dipandu adik mangsa tiba-tiba ditahan sebuah kenderaan lain dan sekumpulan lelaki bertindak memecahkan cermin kereta sambil memegang sebilah parang.
“Ketika cuba menyelamat diri, kenderaan dipandunya terlanggar sebuah ambulans sehingga mengakibatkan kenderaan itu remuk di bahagian bawah lampu sebelah pemandu.
“Lelaki terbabit kemudian terus memecut kenderaannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang terletak kira-kira tiga kilometer bagi menyelamatkan diri dan melaporkan kejadian kepada polis,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 10.15 malam ketika sedang menerima rawatan.
“Susulan kejadian itu tiga lelaki masing-masing berusia 21, 22 dan 31 tahun dipercayai terbabit dalam kejadian ditahan polis.
“Motif dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini giat mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian serangan itu,” katanya.
Ahmad Jamil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau menghubungi IPD Jasin di talian 06-529 2222.