Hampir sedekad memegang status anak seni, penyanyi Andi Bernadee tidak putus mendambakan perkembangan karier serta kemajuan diri untuk terus mengorak langkah ke hadapan.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangil, 33, sentiasa tercari transisi yang terbaik untuknya terus bersinar. Khususnya dalam karier muzik, dia sangat menitikberatkan hala tuju yang tepat buatnya.

Justeru, Andi memutuskan untuk menyertai ‘rumah’ baharu iaitu Universal Music Malaysia (UMM) baru-baru ini. Sebelum ini, dia pernah bernaung di bawah syarikat rakaman Warner Music Malaysia (WMM).
“Keputusan ini adalah disebabkan saya ingin berubah angin. Saya nak melangkah ke fasa yang baharu kerana sudah tujuh tahun bersama dengan syarikat rakaman terdahulu. Hal ini pun normal.
“Kami ada perancangan menghasilkan album dan beberapa agenda lain lagi yang membabitkan hala tuju karya saya. Saya nampak jelas hala tuju yang saya kehendaki apabila dengan UMM,” katanya.
Faktor hala tuju kata Andi memang menjadi punca dia nekad memilih UMM. Baginya, kesepakatan yang dimeterai mereka bersama membuatkan dia yakin keputusannya itu tepat.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada mempertimbangkan beberapa syarikat rakaman lain sebelum itu. Namun, dia kini teruja memulakan perjalanannya di bawah payung UMM pula.
“Selepas kontrak dengan syarikat rakaman terdahulu tamat, saya ada buat ‘shopping’ label lain juga. Tapi, UMM adalah pilihan tepat yang menyediakan tawaran terbaik saya dapat.
“Sebelum ini, saya sendiri perlu tetapkan hala tuju karier dengan bantuan syarikat lama. Bezanya, kali ini hala tuju itu lebih kukuhlah. Insya Allah, penghasilan album bermula tahun depan,” katanya.
Anak jati Inanam, Sabah itu berkongsi kontraknya dengan label terdahulu tamat pada Jun lalu. Dia akui banyak terhutang budi dengan WMM dan akan sentiasa kenang jasa syarikat itu.
Jika diikutkan, Andi juga sebenarnya sudah kurang aktif dalam karier muziknya kala ini. Namun, semangatnya kembali berkobar untuk merancakkan semula kerjaya nyanyian.
“Untuk 2024 ini, saya nak buka lembaran baharu, bermula lebih segar. Saya mahu fokus semula kepada karier nyanyian sebab banyak hal merencat fokus saya kebelakangan ini.
“Ini adalah masa yang tepatlah untuk saya kembali jadi diri sendiri,” katanya.
Antara impiannya yang belum tertunai juga adalah mengadakan konsert atau showcase sendiri. Dia berharap ia akan menjadi kenyataan dengan UMM tidak lama lagi.
“Sudah hampir 10 tahun serius dalam bidang ini, saya masih belum ada showcase atau seumpama. Bersama UMM, saya akan buat satu mini showcase selepas album sudah siap nanti,” katanya.
Apapun, Andi tidak akan mengeluarkan single baharu dalam masa terdekat sejak menyertai UMM. Menurutnya, paling-paling pun dia akan hasilkan lagu Aidilfitri sebagai single pengenalannya.
“Mungkin akan ada satu lagu raya dan duet rasanya. Tapi butiran sebenarnya tak pasti lagi kerana masih di peringkat awal. Saya dengan UMM pun belum adakan perbincangan mendalam.
“Sekarang sudah Ogos dan untuk hasilkan single baharu, bukan senang kerana banyak prosesnya. Aidilfitri sajalah perayaan yang paling dekat sekarang,” katanya.