Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pengikutnya tiba di Mahkamah Selayang untuk berdepan pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Selain Nasiruddin, turut dituduh adalah isterinya Azura Md Yusof dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Mohammad Adib At-Tamimi.

Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Kesemua mereka tiba di mahkamah jam 9.30 pagi ini dengan menaiki dua trak polis dengan kawalan ketat anggota keselamatan.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan itu dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
Pada 16 Oktober lalu, Nasiruddin antara 16 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin dilapor berkata, sejak Op Global dilancarkan pada 11 September lalu 58 individu ditahan mengikut Sosma termasuk 16 orang yang juga pengurusan tertinggi GISBH.
Mereka antara 415 individu yang ditahan dalam Op Global hingga fasa keempat.