Sungai Buloh: Tindakan seorang lelaki warga Nepal menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kuang, di sini, gagal apabila dia ditahan orang ramai.
Kejadian kelmarin itu turut tular di media sosial apabila beberapa video menunjukkan suspek diikat orang awam berhampiran lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan dua video tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki warga Nepal sedang disoal siasat selain satu lagi video menunjukkan lelaki itu dalam keadaan terbaring dengan tangan diikat.
Katanya, laporan awal mendapati seorang wanita berusia 47 tahun mendakwa terdengar jeritan jirannya meminta tolong memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya pada jam 12.40 tengah hari, kelmarin.
“Pengadu kemudian pergi ke rumah jirannya itu dan terlihat suspek lelaki cuba melarikan diri.
“Susulan itu, pengadu bersama penduduk mengejar lelaki terbabit dan berjaya menahannya berhampiran kawasan pembuangan sampah iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, berlaku pergelutan ketika cuba menahan suspek namun lelaki warga asing itu berjaya ditangkap dan diserahkan pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kejadian dipercayai berlaku di ruang tamu rumah mangsa yang didatangi suspek yang memperkenalkan diri sebagai tukang cuci.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.