Adeline Chang didenda RM7,000.

Adeline Chang didenda RM7,000.

Sepang: Seorang wanita, Adeline Chang didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah kerana memulakan penghantaran komunikasi jelik membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Facebook miliknya, Mei lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Adeline atau nama sebenarnya Chang Pei Yi, 24, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun Chang membayar denda itu.

Ahmad Fuad sebelum menjatuhkan hukuman berkata, perbuatan OKS itu menyebabkan maruah kanak-kanak dan keluarganya tercalar.

“Media sosial menjadi forum awam untuk membincangkan sesuatu isu dan orang awam boleh bercakap apa sahaja dalam medium forum itu.

“Tetapi kita harus ingat bahawa salah satu rukun negara kita ialah kesopanan dan kesusilaan, bermakna apa jua yang diberitahu perlu berpandu pada Rukun Negara dan perkara ini telah terhakis sedikit demi sedikit terutamanya dalam kalangan muda-mudi,” katanya.

Ahmad Fuad turut menasihatkan Chang supaya tidak memanjangkan isu peribadi sehingga memberi kesan jangka panjang kepada orang lain yang tidak berdosa yang mana dalam kes ini adalah kanak-kanak berkenaan.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar berserta teks dalam bahasa Mandarin dengan tuduhan dan kata-kata kesat yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada jam 11 malam, 30 Mei lalu.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya, dekat sini, pada jam 8 pagi, 1 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mengikut fakta kes, Chang membuat hantaran jelik itu berikutan mempunyai perselisihan faham dengan ibu kanak-kanak terbabit.

Pada jam 12.30 tengah hari, 21 Jun lalu, satu operasi pemeriksaan dilakukan sekumpulan anggota polis dan pegawai SKMM di Bandar Utama, Petaling Jaya dan pemeriksaan ke atas telefon bimbit menemui akaun Facebook Adeline Chang itu terlog masuk sebagai pentadbir di telefon bimbit berkenaan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SKMM Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Chang dan kesalahan dilakukan disifatkan sebagai buli siber.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab mewakili wanita itu merayu denda minimum atas alasan anak guamnya tidak berpendapatan tetap dan hanya menjalankan reviu barangan dalam talian.

“Anak guam juga mempunyai penyakit tiroid dan kini menerima kaunseling berkala untuk rawatan psikologinya,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading