Ayam Tandoori beracun

Ayam Tandoori beracun

Kota Bharu: Seramai 108 pelanggan mengalami keracunan makanan selepas menikmati menu masakan ayam tandoori di sebuah restoran di Pengkalan Chepa di sini.

Kejadian berlaku Khamis lalu apabila majoriti mangsa mengalami gejala seperti cirit-birit, sakit perut, demam, pening, dan muntah.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, 18 daripada mangsa dimasukkan ke hospital kerajaan dan swasta dengan sembilan daripadanya sudah dibenarkan pulang.

Menurutnya, 50 lagi mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar manakala selebihnya tidak mendapatkan rawatan namun berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan awal mendapati bahawa kesemua kes mempunyai sejarah memakan ayam tandoori di restoran itu pada 17 Oktober namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pemeriksaan di premis makanan berkenaan dijalankan pada jam 8.30 malam, 19 Oktober lalu. Seramai 18 orang pengendali makanan ditemui.

“Sebanyak 16 sampel sudah diambil iaitu sampel klinikal pesakit, sampel pengendali makanan, air, makanan dan persekitaran,” katanya tadi.

Dr Zaini berkata, premis itu sudah diarah tutup mengikut Seksyen 18 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 [Akta 342] pada 19 Oktober lalu.

Menurutnya lagi, kes keracunan makanan di premis itu adalah kejadian berulang dan kali pertama berlaku pada Januari lalu.

“Keracunan makanan berlaku disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar. Sebagai langkah pencegahan, kami menasihatkan orang ramai agar sentiasa bijak memilih premis makanan yang bersih dan selamat.

“Sentiasalah menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan air dan sabun sebelum makan atau mengendalikan makanan serta masak makanan dengan sempurna dengan memastikan ia dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam.

“Pastikan juga kawasan dapur bebas daripada serangga, makhluk perosak dan haiwan-haiwan lain. Pastikan menggunakan peralatan yang berasingan untuk makanan mentah dan makanan yang sudah dimasak atau makanan yang dimakan mentah seperti buah-buahan bagi mengelakkan pencemaran silang,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading