Kuala Lumpur: Pelakon, Shahz Jaszle, 36, bersyukur memiliki isteri, Nur Hanis Husna yang cukup cantik dan sempurna di matanya sekali gus membuatkan dia tidak terdetik langsung untuk berfoya-foya.
Shahz atau nama sebenarnya Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin juga memang tidak suka berpeleseran dan terus pulang rumah selepas bekerja termasuk selesai menjalani penggambaran.

“Bagi saya, isteri saya seorang wanita cantik dan cukup sempurna. Malah, saya sangat bersyukur dikurniakan pasangan yang sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon.
“Apabila berada dalam bidang ini, pasti khalayak terfikir mustahil saya tidak tertarik hati dengan pelakon wanita muda dan cantik. Macam gandingan dalam drama Senyawa iaitu Trisha Ooi dan Siti Hariesa.
“Saya pula jenis yang habis penggambaran terus balik rumah. Tiada masa hendak berfoya-foya. Usia begini sudah tidak sesuai lagi untuk kehidupan begitu. Masa sudah berubah dan kita juga perlu berubah,” katanya.
Shahz juga sangat senang apabila isteri menjadi pengurusnya sendiri. Malah, setiap projek yang diterima akan ditapis isterinya terlebih dulu dan sangat memahami tuntutan kerjayanya.
“Pihak penerbit awal-awal lagi dah tanya sekiranya isteri saya benarkan saya melakonkan adegan ‘daring’ dan dia cakap okay saja.
“Skrip drama pun awal-awal lagi penerbit beri kepada isteri saya dulu, tunggu dia yang terima tawaran itu atau pun tidak,” katanya merujuk kepada pembabitannya dalam drama Senyawa
Shahz mendirikan rumah tangga dengan Nur Hanis Husna pada 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alana Jasmeen, 9; Ayden Jasreen, 7; dan Aurora Jane yang kini berusia empat bulan.