PILIH tinggalkan kerjaya sedia ada bukanlah satu keputusan mudah untuk dilakukan. Namun, bagi bekas pelakon, Hairul Azreen, keputusan dibuatnya lebih setahun lalu disifatkan membuka jalan lebih bahagia buatnya.
Bagi suami kepada pelakon dan pempengaruh, Hanis Zalikha ini, dia kini bahagia dapat menjadi saksi, melihat dua cahaya matanya, Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah membesar di depan matanya.

“Saya dah tak berlakon dah, dah setahun. Kalau ada pun, dalam The Original Gangster ini yang mana penggambarannya dijalankan sebelum saya berhenti.
“Saya pilih berhenti untuk anak-anak. Sekurang-kurangnya, saya boleh luangkan masa dan latih anak-anak saya.
“Bagi saya, bila saya buat begitu, saya nampak perkembangan anak di depan mata dan itu membuatkan saya rasa bahagia,” katanya.
Menurut pelakon yang pernah membintangi filem Paskal dan Malbatt: Misi Bakara itu, dia tidak mahu anak-anaknya membesar di saat dia mengejar populariti yang belum tentu memberi kepuasan.
“Semasa saya berlakon, bukanlah anak-anak tak rapat dengan saya, tapi lebih rapat dengan isteri. Sekarang, nak tidur pun saya kena ada. Itu sangat berharga.
“Saya rasa, saya dah dapat berlakon filem aksi dan jadi hero, filem saya dari Paskal sampai sekarang, semuanya pecah panggung. Apa lagi saya nak?
“Tapi, anak-anak? Kita lihat sendiri dalam kalangan pelakon Hollywood, mereka terkenal. Tapi, anak mereka tak ada rasa hormat, tak ada hubungan baik.
“Saya tak nak begitu. Itu adalah contoh yang saya tak nak jadi. Yang baik, saya ambil. Saya nak jadi terbaik yang saya mampu,” katanya.
Berkongsi mengenai keputusan penuh tekad yang dilakukannya, Hairul berkata, dia memilih untuk meninggalkan dunia seni sepenuhnya.
“Memang saya takkan ada lagi di dalam industri. Kalau setakat buat kandungan untuk media sosial, mungkin ada. Tapi, kalau untuk saya berlakon, mengarah dan sebagainya, tak ada dah.
“Saya dah rancang lama, tapi mungkin sebelum ini masanya belum tiba. Tapi, apabila saya menonton Malbatt: Misi Bakara, saya tahu saya dah buat sepenuh hati.
“Saya cari pelabur, saya berurusan dengan pihak tentera, saya berkawan dengan semua orang untuk jayakan filem itu. Apabila dah menjadi, saya dah puas. Kalau tak puas, saya nak buat lagi.
“Jadi, saya kena tahu saya dah dapat macam-macam. Kalau tak, nanti kita nak kejar semua benda, lepas itu tak dapat,” katanya.
Ditanya lagi mengenai titik tolak keputusan dilakukannya pada tahun lalu, Hairul banyak bermuhasabah dan bertanya kepada dirinya mengenai masa hadapan.
“Saya suka pergi memancing dan di tengah-tengah laut, saya bertanya kepada diri saya, lagi lima tahun, apa yang saya buat, siapa saya.
“Bila di atas laut, bot kecil dan sendirian, bayangkan kalau kita ‘zoom out’, betapa kecilnya kita di dunia ini. Jadi, saya sangat berfikir,” katanya.
Terbaharu, Hairul kini terpilih untuk menyertai pasukan Gergasi Merah Kuning dalam e-sukan.
“Saya baru berbincang dengan pihak pengurusan. Insya-Allah, Februari nanti. Tapi, saya tak boleh nak beri kata putus lagi. Tapi, saya akan kongsikan nanti.
“Tapi, memang saya tak sangka. Saya dah main permainan antaranya Mobile Legends sejak awal lagi dan bukan baru-baru ini. Tidak. Saya main sebelum ada e-sukan di Malaysia. Tapi, waktu itu saya main suka-suka,” katanya.