Kuala Lumpur: Kumpulan Exists tetap mengingati anggotanya, Mamat, 46, meskipun penyanyi itu tidak terbabit dalam Konsert Battle Of Time Exists X Masdo di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam tadi.
Penyanyi juga vokalisnya, Ezad Lazim, 45, berkata selama lebih 30 tahun Exists aktif dalam perjuangan muzik mereka, ia masih diterajui oleh semua anggota yang sama sejak awal penubuhan pada 1991 sehingga sekarang.

“Inilah muka yang masih sama dalam Exists iaitu Along selaku pemain gitar, Musa (bass), Ujang (dram), Ajai (keyboard) dan saya sebagai penyanyi. Termasuk juga seorang lagi anggota Exists, Mamat.
“Kita terus doakan yang baik-baik untuk Mamat dan Insya Allah, semoga pada masa akan datang Exists akan dapat bersama Mamat semula dalam persembahan kami yang lain,” katanya sebaik memperkenalkan anggota Exists di konsert itu.
Pada 8 Julai lalu, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin yang sebelum ini berdepan dua pertuduhan mengambil dadah pada 2019, berjaya dalam rayuan terhadap sabitan dan hukumannya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor.
Mamat dijatuhi hukuman denda RM4,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bentong, Pahang untuk rawatan dan pemulihan selama dua tahun.
Selain itu, Ezad juga berkongsi perasaan teruja Exists yang tidak sabar untuk ke Tanah Suci Makkah bagi menjayakan program Umrah Langkah Seiringan Exists pada 22 Januari hingga 2 Februari tahun depan.
“Alhamdulillah, Insya Allah ada rezeki kami akan ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan umrah, tahun depan. Exists juga amat mengalu-alukan kepada orang ramai yang ingin ke sana bersama dengan kami,” katanya.
Pada Konsert Battle Of Time Exists X Masdo yang berlangsung lebih dua jam itu kedua-dua band menampilkan persembahan bertenaga dengan mendendangkan kira-kira 30 lagu.
Antara lagu nyanyian Exists ialah Seperti Dulu, Mama Tolonglah Percaya, Julia, Janji Padamu, Langkah Seiringan, Bunga, Jesnita, Percayakan Siti, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.