Kuala Lumpur: Perselisihan faham mengenai isu agama dipercayai menjadi punca seorang lelaki membunuh ibunya sebelum mayatnya disimpan dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama di sini.
Sumber berkata, suspek yang berusia 50-an dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an kerana mahu wanita itu ‘masuk syurga’.

Katanya, suspek dipercayai menumbuk wanita warga emas itu sehingga mati sebelum mayatnya dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.
“Suspek mendakwa membunuh ibunya pada Mac 2021 sebelum menyembunyikan mayat wanita itu dalam peti sejuk beku.
“Selepas lebih tiga tahun, mayat mangsa ditemui selepas kediaman suspek diperiksa sepasukan polis yang menerima laporan perkara itu pada 9 pagi tadi.
“Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik,” kata sumber.
Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana tidak sihat sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya.
Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.
Kata sumber, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan suspek turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Difahamkan, suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut.