Kulai: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua rampas 27,200 liter diesel bersubsidi dalam serbuan Ops Taring Landai di sebuah premis di kawasan Seelong, Senai di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Tan Seng Lee berkata, serbuan pada 8 malam itu turut menahan dua lelaki tempatan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menyeluruh ditemui diesel dalam 26 buah ‘square tank’, sebuah pam flow meter dan sebuah pam minyak.
“Turut ditemukan dua kenderaan yang diubah suai dengan mempunyai satu tangki besi kapasiti 1,000 liter dan satu tangki fiber kapasiti 700 liter di belakang kenderaan.

“Jumlah rampasan diesel terbabit dianggarkan bernilai RM78,880, manakala dua kenderaan itu iaitu pacuan empat roda Ford Ranger dan lori Isuzu masing-masing bernilai RM85,000.
“Keseluruhan nilai rampasan dalam serbuan berkenaan berjumlah RM296,880,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Menurut Seng Lee, dua lelaki yang ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terhadap pemilikan diesel terbabit.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta yang sama.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai kenderaan,” katanya.