KUALA LUMPUR: Penyanyi Ezad Lazim kembali mencuri tumpuan apabila merakam semula lagu viral, Rindu Hatiku Rindu yang pernah dinyanyikan penyanyi cilik, Tantari.
Lagu ala 1990 an itu diberi nafas baharu oleh Ezad, menjadikannya karya seperti miliknya. Dengan suara lemak merdu dan lenggok nyanyian tersendiri, Ezad berjaya menghidupkan kembali aura dan emosi lagu dengan sentuhan peribadinya.

Versi asal lagu ciptaan komposer Eddie Hamid dan lirik oleh Jaju dan Hakim Hakimi itu diterbitkan awal tahun ini berjaya bertakhta di kedudukan #1Trending selama 20 hari berturut-turut di YouTube dan kini sudah mencapai lebih 9 juta tontonan.
Ezad berkata, ia adalah satu penghormatan buat dirinya apabila diberi peluang untuk merakamkan semula lagu mendapat tempat di hati pendengar.
“Peluang merakamkan semula lagu ini adalah satu penghormatan dan saya harap versi ini juga akan mendapat sambutan seperti versi asal.
“Saya berasakan lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja buat peminat muzik masa kini tetapi karya seni melangkaui zaman,” katanya.
Ezad berkata, rakaman versi baharu diharap dapat meluaskan lagi golongan pendengar buat lagu Rindu Hatiku Rindu.
“Proses rakaman semula lagu Rindu Hatiku Rindu dilakukan dengan teliti. Saya bekerja dengan penerbit untuk memastikan elemen asal lagu ini terpelihara.
“Pada masa sama, susunan muzik diolah sedikit untuk menyesuaikan dengan nyanyian seorang penyanyi dewasa,” katanya.
Apa yang pasti, dengan gaya persembahan yang lebih matang dan menyentuh hati, rakaman semula Rindu Hatiku Rindu versi Ezad dijangka mampu menarik ramai golongan pendengar.
Terdahulu, Tantari atau nama sebenarnya, Naufal Azahel Mohd Alfian yang ketika itu baru berusia enam tahun merakam lagu Rindu Hatiku Rindu.
Dilancarkan pada 15 Februari lalu, lagu berkenaan bukan sahaja ‘trending’ untuk muzik di YouTube, tetapi malah mendapat tempat di TikTok dengan pencapaian empat juta tontonan video muzik.
Sementara itu, Ezad yang mula mencipta nama sebagai vokalis utama Exists sudah merakam banyak lagu hit malar segar seperti Jesnita yang mendapat 16 juta tontonan di YouTube; Mengintai Dari Tirai Kamar (14 juta), Seperti Dulu (14 juta) dan Alasanmu (10 juta)
Ezad turut mencatat banyak kejayaan sebagai penyanyi solo menerusi lagu-lagu hit yang menjadi siulan ramai. Antaranya, Demi Cinta (14 juta); Percintaan Ini (5.2 juta) dan Hati Mati (3.8 juta).