KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita negara berdepan misi wajib menang apabila bertemu Thailand dalam perlawanan terakhir Trofi Juara-Juara Asia di Bihar, India, esok untuk berpeluang melangkah ke separuh akhir.
Terdahulu, Malaysian Tigress di bawah bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terpaksa akur apabila tewas 1-2 di tangan Jepun dalam perlawanan keempat liga sepusingan, hari ini.

“Bertemu dengan Thailand, tiada pesan lain, kami hanya mahukan kemenangan,” tegas Nasihin. “Kami tahu, Thailand sedang meningkat naik tetapi kami akan berusaha untuk berikan lebih terbaik dari hari ini dan tak kira apa yang terjadi, kami perlu menang.
Selepas menang ke atas Korea Selatan kelmarin, skuad negara gagal meneruskan rentak itu di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar.
Namun, Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan apabila Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi meledak gol padang minit ke-26.
“Kita juga berpeluang mendahului pertemuan itu dan akhirnya usaha membuahkan hasil selepas pemain muda kita Nur Iman menjaringkan gol buat skuad negara.
“Kejayaan Nur Iman menjaringkan gol membuktikan ramai pemain muda kita mempamerkan peningkatan jika dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini,” katanya.
Jepun bagaimanapun berjaya mengikat kedudukan memasuki suku keempat menerusi Shiho Kobayakawa minit ke-59.
Gol kemenangan Jepun hadir minit ke-51 apabila Miyu Hasegawa menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk memastikan kemenangan memihak kepada negara matahari terbit itu.
Malaysia membuka kempen kali ini dengan kekalahan di tangan India 0-4, di belasah pemenang pingat perak Olimpik Paris, China 0-5 sebelum menang 2-1 mengatasi Korea Selatan.