Kajang: Pelajar Maahad Tahfiz Integrasi Ilmi, Hulu Langat di sini, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan sekolah berkenaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Kasyfi Isyraq Kharudin, 16, pada 6.15 petang, semalam.
“Kehilangan remaja itu disedari warden dan kemudian menghubungi keluarganya. Dia juga tiada perselisihan faham dengan sesiapa. Lokasi terakhir remaja itu dilihat di kawasan sekolah tahfiz berkenaan, kira-kira 3 petang kelmarin.
“Remaja itu berketinggian kira-kira 155 sentimeter dengan berat badan 49 kilogram dan berambut pendek. Berpakaian baju jersi berwarna merah jambu dan berseluar ‘track’ warna biru gelap atau hitam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja berkenaan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin (016-9985730).