Berbaloi berhabis RM30k

Berbaloi berhabis RM30k

Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri sanggup berbelanja besar hampir RM30,000 demi membawa dua haiwan kesayangannya itu menyertai pertandingan di luar negara.

Ternyata pengorbanan Shaharudin Shuib, 46, dan Rooaida Mohd Darus, 42, berbaloi apabila salah seekor kucingnya iaitu Baby dinobatkan juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang diadakan di Oslo, Norway, baru-baru ini.

Rooaida berkata, perbelanjaan itu merangkumi tiket penerbangan untuk Baby dan Miko (kucing jantan yang turut menyertai pertandingan bersama Baby) yang setiap satunya berharga RM2,500 dan kos lain.

Menurutnya, Baby bukan kucing jalanan, tetapi dikategorikan sebagai kucing rumah bulu panjang.

“Saya mendapat Baby daripada seorang kenalan sembilan tahun lalu dan terus memeliharanya hingga kini.

“Saya meletakkan nama Baby adalah secara sepontan selepas terpikat dengan kecomelan wajahnya ketika kali pertama menatapnya,”katanya.

Menurutnya, Baby sudah didedahkan dalam pertandingan sejak usianya enam bulan dan aktif menyertai pertandingan setiap bulan di Malaysia.

“Setakat ini lebih 100 kemenangan diraih Baby dan pencapaian tertingginya ialah juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway, baru-baru ini.

“Baby mempunyai tuah yang baik kerana merangkul gelaran juara dalam pertandingan peringkat antarabangsa kali pertama disertainya dan tentunya kemenangan itu sesuatu tidak dijangka,”

Peniaga itu berkata, Baby mempunyai bulu yang cantik dan panjang adalah hasil penjagaan teliti termasuk mendandan (grooming) dilakukan suaminya.

“Ini kerana Baby menyertai pertandingan setiap bulan, maka rawatan itu perlu dilakukan berkala.

“Dalam proses mendandan, Baby menggunakan lima jenis syampu termasuk perapi dan degreaser untuk menghilangkan kotoran sukar dan minyak berlebihan.

“Untuk makanan pula diberikan yang berkualiti tinggi jenis super premium dan premium. Selain itu turut diberikan minyak salmon serta minyak kelapa dara,”katanya.

Rooaida berkata, lazimnya peminat kucing membawa haiwan kesayangan menyertai pertandingan bukan bermatlamatkan hadiah kemenangan berupa wang tunai.

“Sebaliknya memenuhi hobi dan mahu mendapatkan kepuasan apabila si bulus ini menang.

“Sebab itu saya tidak berkira berbelanja besar semata-mata untuk membawa Baby menyertai banyak pertandingan termasuk di luar negara,”katanya.

Selain itu katanya, untuk membawa kucing menyertai pertandingan di luar negara bukan perkara mudah kerana perlu melalui proses yang rumit.

“Ada dokumentasi yang perlu diselesaikan sebelum membawa kucing menaiki kapal terbang dan hanya pencinta kucing sebenar sahaja sanggup menghadapi kerumitan ini.

“Di samping itu, perlu mematuhi prosedur ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang mana kucing pulang dari luar negara perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari,”katanya.

Katanya lagi, buat masa ini dia belum ada perancangan tertentu untuk Baby. Namun terbuka jika ada pihak berminat berkerjasama.

“Jika Baby dapat peluang pekerjaan, maka pendapatan ini disimpan untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa tahun depan,” katanya.Untuk rekod, selain Baby dan Miko, pasangan suami isteri itu turut mempunyai 40 kucing peliharaan lain.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading