Gombak: Tiga individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah lori lima tan melanggar 11 kereta dan satu motosikal di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran bulatan Batu Caves di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikerahkan ke lokasi sejurus terima panggilan pada 3.09 petang Ahad.

“Komander operasi lapor kemalangan membabitkan lori Nissan UD 5 tan yang melanggar 11 kereta dan sebuah motosikal.
“Seramai tiga mangsa yang cedera dan mereka diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa membabitkan dua lelaki berusia 43 dan 65 tahun serta wanita berusia 49 tahun, kesemuanya warga tempatan.
Katanya, operasi tamat pada 4.43 petang dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.