Kuala Lumpur: Pelakon, Sophia Albarakbah tidak pernah melalui pengalaman buli di set penggambaran saat bergelar pelakon baharu suatu ketika dahulu.
Sophia, 31, berkata, berdasarkan pemerhatiannya, isu itu tidak pernah berlaku kerana pelakon senior sentiasa membantu dan berkongsi pengalaman.

“Berdasarkan pengalaman saya, bukan sahaja untuk saya tetapi juga mereka yang berada di set yang sama, daripada pemerhatian saya, tak ada berlaku kes buli oleh pelakon senior kepada pelakon junior.
“Mereka sekurang-kurangnya banyak membantu dan kongsi pengalaman. Jadi, saya tak pasti mengenai pelakon junior yang dibuli di set penggambaran
“Kalau bergurau, itu benda normal. Tapi, kalau nak bercakap mengenai buli itu, setakat ini saya tak pernah alami atau nampak berlaku di depan mata,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Sophia, pelakon junior perlulah memulakan langkah untuk menegur mereka yang lebih berpengalaman kerana itu adalah sebagai tanda adab dan hormat.
“Senior semua baik. Sewaktu awal-awal saya nak bekerja dengan pelakon senior, tentunya akan ada rasa gemuruh dan sebagainya. Tapi, bila dah masuk set, tak ada satu pun yang sombong.
“Kita juga sebagai pelakon junior, kitalah kena mulakan. Kita kena hormat dan kena tegur dahulu. Secara tak langsung mereka akan baik juga dengan kita.
“Banyak ilmu kita boleh dapat dan tanya daripada mereka. Jangan bazirkan peluang itu ketika berada di set.
“Mungkin pelakon junior yang alami situasi buli ini, bergantung kepada cara mereka layan pelakon senior juga. Jadi, pelakon senior ini pun melayan mereka sedemikian juga,” katanya.
Terdahulu, timbul isu mengenai buli yang berlakon dalam kalangan pelakon baharu oleh pelakon senior serta kru di set penggambaran.