Kuala Lumpur: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, menetapkan tarikh 2 Disember ini untuk pihak plaintif, Diana Danielle menyediakan dokumen berkaitan pengesahan rujuk bagi meneruskan permohonan perceraian terhadap suaminya, Farid Kamil.
Peguam syarie yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, mahkamah hari ini sudah mendengar permohonan rujuk dan sudah sah.

“Sebentar tadi mahkamah sudah mendengar permohonan rujuk. Hakim berpuas hati dengan permohonan itu sebab defendan pun tidak bantah.
“Rujuk sudah berlaku dan mahkamah sudah beri perintah bahawa kedua pihak sudah kembali sebagai suami isteri dari tarikh rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.
“Selepas ini, mahkamah arahkan untuk mendapatkan perakuan atau sijil rujuk di Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan).
“Kemudian ia perlu dibawa ke mahkamah pada 2 Disember depan untuk diteruskan dengan tuntutan cerai difailkan anak guam saya,” katanya.
Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, anak guamnya masih belum merancang apa-apa.
“Prosiding perceraian itu tak ada apa-apa lagi di pihak Farid. Cuma, sebab rujuk itu memang berlaku, sebab itulah kita kena selesaikan rujuk itu dulu. Untuk cerai nanti, setakat ini tak ada apa-apalah.
“Kami datang hari ini, isu perceraian itu masih belum ada dalam fikiran. Kami nak selesaikan masalah rujuk sebab Farid memang ada lafaz,” katanya.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid.
Permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Berdasarkan dokumen diperoleh antara alasan dikemukakan untuk bercerai adalah sudah tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Nama pasangan ini kembali menjadi sebutan selepas Diana mengumumkan mahu memfailkan perceraian pada 28 Oktober lalu.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana kemudiannya bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu, namun, rujuk kembali sebulan kemudian.