Petaling Jaya: Pelakon, Emma Maembong menafikan punca perceraiannya dengan bekas suami, Muhammad Shazli Azhar, 36, disebabkan kehadiran orang ketiga.
Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 32, menegaskan, dia dan bekas suami bercerai secara baik dan memilih untuk tidak berkongsi lanjut mengenai punca perpisahan mereka.

“Tak ada (angkara orang ketiga). Bila ini berlaku (bercerai), keluarga saya pun terkejut dan mereka tanya mengapa. Bagi saya, kehidupan berumah tangga bukan mudah untuk dijalani.
“Tak ada gunanya untuk saya kongsi kepada semua mengenai punca perpisahan ini. Kita perempuan akan ada detik rasa kecewa dan sebaliknya.
“Cuma saya pun tak tahu mengenai jodoh selepas ini. Kalau tiba-tiba jodoh kami kembali? Saya juga yang akan menyesal sebab pernah memburukkan bekas suami.
“Jadi, kita teruskan kehidupan masing-masing. Rasa kecewa, sedih atau bahagia, itu semua memang rutin kehidupan. Jadi, terus pandang ke depan dan besarkan anak-anak,” katanya.
Emma berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Malam Gala Jangan Pandang Belakang 2, di sini.
Dalam masa sama, Emma memaklumkan hubungannya dengan bekas suami masih berjalan dengan baik demi memberikan sepenuh kasih sayang terhadap dua anaknya.
“Saya dan Shazli tiada masalah, semuanya okay. Tak ada nak bergaduh kerana kami sama-sama faham. Kita cuba untuk memperbaiki perhubungan sebelum ini. Tapi jodoh sampai di situ saja.
“Apa pun, itu bukan penamat. Tidak semestinya bila bercerai, kita perlu membenci atau ‘blocked’ pasangan. Apatah lagi menyeksa mental anak-anak.
“Misalnya, bila kita rasa tak puas hati dengan bekas pasangan, tak beri dia jumpa anak. Bagi saya ia bukan satu perkara yang baik sebab biarlah anak membesar dengan sempurna.
“Misalnya untuk situasi saya, bapanya ialah ‘hero’ dia sementara mama pula ‘superwoman’. Tak perlu kita bergaduh, berebut anak hingga akhirnya mereka yang jadi mangsa,” katanya.
Terdahulu pada 7 Oktober lalu, Emma mendedahkan dia kini bergelar ibu tunggal selain sudah tamat melalui tempoh idah.
Emma bagaimanapun memilih untuk merahsiakan berita perceraiannya daripada pengetahuan umum sebelum ini kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan.
Sementara Shazli pula menyifatkan urusan jodoh pertemuan adalah rahsia Allah dan dia reda dengan segala ketentuan.
Emma dan Shazli mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 4, dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia setahun.