Kuala Lumpur: Taikun perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri Ananda Krishnan meninggal dunia, hari ini pada usia 86 tahun.
Bilionair terkenal itu membina empayar perniagaannya meliputi sektor telekomunikasi, minyak dan gas.

Menurut kenyataan daripada syarikat miliknya, Usaha Tegas Sdn Bhd, beliau menghembuskan nafas terakhir hari ini.
“Pihak keluarga meminta agar tempoh berkabung dilakukan secara peribadi.
“Beliau telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan dunia korporat dan inisiatif filantropi beliau telah menyentuh banyak kehidupan,” kata syarikat itu.
Menyorot kejayaan besar beliau dalam dunia korporat, Ananda disenaraikan oleh Forbes sebagai individu keenam terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak AS$5.1 bilion (RM22.66 bilion).
Ananda juga meraih sebahagian besar kekayaannya pada era 1980-an dan 1990-an.
Beliau dikenali sebagai tokoh korporat yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Antara pegangan utama Ananda termasuk syarikat telekomunikasi Maxis Bhd, syarikat televisyen berbayar Astro Malaysia dan syarikat perkhidmatan minyak Bumi Armada Bhd.
Sepanjang hidupnya, Ananda dikenali sebagai seorang yang menjauhi perhatian media meskipun empayar perniagaannya terus berkembang.
Beliau sering berulang-alik antara Malaysia dan Perancis, di mana beliau meluangkan sebahagian besar masanya bersama isteri.
Pemergiannya meninggalkan legasi besar dalam dunia perniagaan dan sumbangan yang tidak ternilai kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif filantropi.