Kuala Nerus: Hakisan pantai yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras, Mengabang Telipot, di sini, menyebabkan seorang peniaga celup tepung kerugian sebanyak kira-kira RM30,000 apabila sebahagian struktur kedai musnah dibawa ombak.
Siti Rosmaria Mohamad, 48, berkata, dia memulakan perniagaan di kawasan pantai berkenaan bersama arwah ibunya, Semek Endut, 88, sejak 10 tahun lalu.

Katanya, setiap kali tiba musim tengkujuh, kawasan pantai berkenaan akan terjejas akibat hakisan namun ia tidak memberi kesan kepada perniagaannya kerana jarak antara kedai dan pantai agak jauh.
“Hakisan mula berlaku pada 24 Oktober lalu menyebabkan 60 kerusi, 10 meja makan dan dua gazebo di kedai hanyut dibawa ombak jam 1 pagi (25 Oktober).
“Saya terkejut apabila penduduk memberitahu barangan di kedai hanyut kerana sehari sebelum kejadian, saya menjalankan perniagaan seperti biasa dan cuaca ketika itu elok, laut pun tidak bergelora sehinggalah saya menutup perniagaan jam 7 malam.
“Memang saya terkejut dan sedih melihat banyak kerosakan malah sebahagian tapak kedai dan barangan juga ‘hilang’ dihanyutkan arus ke laut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ibu kepada lima anak berusia 12 hingga 24 tahun itu berkata, dia reda dengan kejadian yang berlaku walaupun hilang punca rezeki dan terpaksa menutup perniagaan.
Dia yang mesra dengan panggilan Kak Ros berkata, kejadian kali kedua berlaku pada Sabtu lalu menyebabkan sebahagian lagi struktur kedai hanyut disebabkan hakisan teruk akibat hujan lebat dan ombak besar.
“Kini sebahagian kedai yang saya bina bersama arwah ibu ketika hayatnya sejak 10 tahun lalu sudah berada di dalam laut.
“Walaupun ibu sudah meninggal dunia pada Ogos tahun lalu, saya tidak bercadang untuk menjalankan perniagaan di tempat lain kerana banyak kenangan indah saya bersama ibu di kedai ini,” katanya.
Siti Rosmaria berkata, dia tidak pasti sama ada mahu meneruskan perniagaannya atau tidak selepas habis musim tengkujuh memandangkan tapak dan persekitaran kedai rosak akibat hakisan.