SUAMI isteri dalam satu kerjaya sering dianggap pasangan memahami yang membuat ada pihak sanggup memilih memberi tawaran kerja secara ‘pakej bersama’ kepada mereka.
Begitu jugalah bagi pasangan pelakon Redza Rosli, 32, dan isterinya, Bella Hanna, 28, yang tidak terkecuali melalui situasi sama.

Redza dan Bella yang ditemui baru-baru ini sempena promosi drama Luruhnya Bunga Cinta 2 lakonan mereka, memaklumkan ada menerima tawaran kerja secara ‘pakej’ itu.
“Semestinya ada juga beberapa ‘offer’ (tawaran) diterima untuk kami berlakon bersama (pakej) sebab suami isteri. Tapi, saya ambil keputusan, tidaklah (terima).
“Sebab, saya pun kalau boleh kita nak terus mencuba bekerja dengan orang (pelakon) lain. Bukan tak nak langsung bekerja dengan isteri sendiri, tapi bukan pada masa sekarang.
“Lagi pun, saya juga dah pernah bekerja dengan Bella sebelum ini. Jadi, buat masa sekarang kami berdua mencapai persetujuan masing-masing boleh bekerja dengan sesiapa saja,” katanya.
Ujar Redza, kebenaran diberikan itu adalah untuk mereka berkongsi pengalaman sendiri dengan pelakon lain, termasuk mendapat pengalaman baharu yang berbeza-beza.
“Kami berdua memang tidak kisah apabila tidak berlakon bersama kerana yang penting menghargai rezeki yang datang kepada kita iaitu karya atau jalan cerita baharu.
“Sebagai suami isteri, kami akan berbincang mengenai setiap tawaran lakonan yang datang sama ada watak itu sesuai diambil atau tidak. Penting untuk kami dengar pendapat masing-masing.
“Apatah lagi, orang selalu kata ‘berkat’. Jadi, apa yang saya nak buat itu untuk keberkatan juga yang selain daripada ibu bapa, pendapat isteri juga harus diambil kira,” katanya.
Sudah berkenalan kira-kira empat tahun, Redza berkata, dia bersyukur akhirnya dipertemukan jodoh dengan Bella pada 21 Jun lalu dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Cheras, Kuala Lumpur.
“Saya dan isteri, Bella saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Apatah lagi, pembabitan dalam karier seni ini kami faham dengan tuntutan kerja dan ia berlaku di set penggambaran saja.
“Sebagai lelaki sudah berkahwin, saya juga tahu perlu ada batas (pergaulan) yang kena jaga agar tidak melukakan hati isteri. Apapun, Alhamdulillah, saya dan Bella senang berbincang,” katanya.