Hampir 500 kucing terperangkap akibat banjir.

Hampir 500 kucing terperangkap akibat banjir.

Kuala Lumpur: Hampir 500 kucing terperangkap di pusat perlindungan haiwan dalam tragedi banjir yang melanda Pasir Mas, Kelantan sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Prihatin Haiwan Kelantan (Anypaw Refugio), Aelyusnida Awang berkata, banjir yang melanda negeri terbabit menjejaskan pusat perlindungan Rumah Prihatin.

“Situasi banjir tahun ini di luar jangkaan dan kami tidak menjangka ia akan melanda pusat perlindungan ini dengan teruk.

“Kami mengalami kerugian yang besar berjumlah RM50,000 membabitkan ubat-ubatan, makanan, peralatan kucing, pasir kucing dan inventori bangunan,” katanya.


Menurut Aelyusnida, separuh daripada kucing-kucing terbabit sudah dipindahkan ke bangunan yang lebih tinggi dan selamat.

“Separuh daripada bilangan kucing yang diselamatkan dan ditempatkan di tempat lebih tinggi, masih memerlukan ubat-ubat dan makanan.

“Makanan kucing yang ada hanya boleh bertahan empat hari sahaja dan ada segelintir kucing menunjukkan simptom demam kerana tidak tahan dengan cuaca sejuk,” katanya.

Manakala separuh lagi masih terperangkap di pusat perlindungan kerana tiada pengangkutan air seperti bot atau sampan.

Aelyusnida berkata, mereka terpaksa menebuk lubang di siling pusat perlindungan supaya kucing-kucing yang terperangkap dapat menyelamatkan diri daripada ditenggelami banjir.

“Dengan paras banjir yang agak tinggi, kami tidak dapat menyelamatkan haiwan comel terbabit menggunakan kenderaan bertayar empat.

“Kami berharap, kucing-kucing terbabit mampu untuk berlindung sementara di dalam siling sementara kami mencari jalan untuk memindahkan mereka ke tempat yang lebih selamat,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading