Warga Bangladesh ludah bendera Malaysia.

Warga Bangladesh ludah bendera Malaysia.

Kuala Lumpur: Tindakan individu warga Bangladesh meludah bendera Malaysia dan menyifatkan universiti tempatan di negara ini sebagai ‘Mini Dhaka’ adalah perbuatan biadap yang perlu diambil tindakan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain berkata, perbuatan itu dilihat seperti mahu melakukan provokasi terhadap rakyat negara ini.

“Di negara ini, ada ramai warga asing sama ada yang mempunyai dokumen atau pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dari Bangladesh.

“Apa yang berlaku ini mungkin disebabkan tindak balas daripada mereka (warga asing) yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa kerana diambil tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Sophian berkata, perbuatan sedemikian boleh mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia yang mungkin akan bertindak sendiri dalam mengatasi isu berkenaan.

“Dalam dunia tanpa sempadan kini, video tular berkenaan semakin disebar dengan meluas yang boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Situasi ini boleh mendorong orang ramai mengambil tindakan sendiri bagi membalas perbuatan biadap berkenaan sekiranya pihak berkuasa lambat bertindak,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi kejadian itu, beliau berkata, terdapat kemungkinan ia berlaku di luar negara atau di pejabat kedutaan.

“Jika kita lihat rakaman video itu, terdapat banyak bendera yang disusun di sana. Selalunya apabila terdapat banyak susunan bendera, ia membabitkan program kehadiran peserta dari negara tertentu,” katanya.

Beliau berkata, pihak berkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu.

“Pihak polis perlu mengeluarkan kenyataan mengenai maklumat kejadian ini seperti lokasi dan info lain berkaitan.

“Jika kejadian berlaku di luar negara, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menghantar memo kepada pihak kedutaan supaya individu berkenaan diambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan individu warga Bangladesh yang meludah bendera Malaysia serta laporan berita melaporkan individu sama menyamakan universiti di negara ini seperti Mini Dhaka.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading