Pulang ke negara asal.

Pulang ke negara asal.

Kuala Lumpur: Ratusan warga asing ‘membanjiri’ pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, di sini, bagi memohon pulang ke negara asal di bawah Program Repatriasi Migran yang bakal berakhir pada 31 Dise mber ini.

Inisiatif diperkenalkan bermula 1 Mac lalu memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen untuk pulang ke negara asal secara sukarela dengan kadar kompaun lebih rendah.

Warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh dilihat beratur di pejabat JIM berkenaan seawal jam 8 pagi.

Warga Nepal dikenali sebagai Yogendra, 26, berkata, dia mahu pulang ke negara asal selepas lebih dua tahun bekerja sebagai buruh di negara ini.

Menurutnya, dia mengetahui program berkenaan melalui rakan senegaranya yang sudah memohon terlebih dahulu.

“Saya ada pasport tapi baru saja tamat tempoh, jadi saya cepat-cepat datang ke sini dan hanya perlu bayar kompaun RM500. Saya datang jam 7 pagi dan menunggu kaunter buka kerana tak mahu beratur panjang.

“Ia sangat murah dan saya dapat balik ke negara asal dengan selamat. Saya sangat takut jika ditahan imigresen dan dipenjarakan,” katanya.

Warga Indonesia yang mahu dikenali Suzi, 45, berkata, dia akan pulang ke negara asal selepas selesai proses program berkenaan.

Menurutnya, proses yang dilaksanakan JIM amat baik dan memudahkan warga asing mahu pulang ke negara asal.

“Saya akan pulang ke Jakarta selepas empat tahun bekerja dalam sektor perkilangan di Malaysia. Terima kasih Malaysia kerana memberi peluang untuk saya mencari rezeki,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

Warga asing perlu membayar kompaun antara RM300 sehingga RM500 sebelum mendapat pelepasan keluar meninggalkan negara ini atas kesalahan tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading