Rezeki mencurah selepas menduda.

Rezeki mencurah selepas menduda.

SIAPA sangka, selepas melalui episod perceraian dengan pelakon, Nur Fazura pada 7 Oktober lalu, Fattah Amin semakin laris di pasaran apabila menjadi buruan pelbagai jenama.

Menganggap setiap tawaran sebagai rezeki Allah SWT, Fattah menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya dipergunakan pihak tertentu ketika namanya menjadi bualan ramai.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, mengakui tidak pernah menjadikan isu perceraian sebagai hal yang boleh ditunggang mana-mana pihak.

“Saya mencari rezeki yang halal. Jika mereka ambil saya bekerja, saya buktikan dengan hasilnya. Tiada istilah ‘menunggang’ isu peribadi.

“Mereka beri saya tawaran kerja dan produk terjual. Itu yang lebih saya fokuskan. Saya ambil tanggungjawab atas setiap kerja diberikan.

“Semua rezeki ini sudah tertulis, tiada istilah menunggang hal peribadi,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelantikannya sebagai duta Usanita Entertainment, baru-baru ini.

Menurut Fattah, dia enggan melayan sebarang fitnah atau tanggapan negatif segelintir pihak mengenai dirinya, sebaliknya kekal fokus untuk mencari rezeki buat keluarga dan puteri tunggalnya, Nur Fatima Aisya, 4.

“Ini semua rezeki Allah dan sebagai umat Islam kita kena percaya perkara itu. Saya pun tak minta setiap video yang dibuat menjadi FYP (tular).


“Saya hanya buat sehabis baik untuk setiap tawaran kerja. Persepsi masing-masing untuk memberi pendapat dan itu saya tidak boleh kawal.

“Ada yang suka dan ada yang tidak. Semua orang ada hak untuk bercakap, saya tak boleh halang,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah memberitahu dia dan bekas isterinya masih berhubung menerusi pembantu peribadi.

“Masih ada berhubung menerusi pembantu peribadi, masih ada balasan. Itu saja yang saya boleh kongsi. Saya pun tak mahu komen lebih.

“Saya ada berjumpa dengan Fatima sebelum mengerjakan umrah, baru-baru ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fattah meluahkan rasa teruja apabila dilantik sebagai duta Usanita Entertainment sekali gus menggalas tanggungjawab mempromosikan setiap kandungan digital syarikat berkenaan.

Selain mengikuti aktiviti berkaitan perniagaan dan misi pendidikan, dia juga bakal bergandingan dengan pelakon Sophia Albarakbah membintangi drama berjudul Aku Cinta Dia.

“Ketika tawaran ini datang, saya akui banyak program dan aktiviti yang sudah disusun oleh Usanita Entertainment sepanjang tahun 2025.

“Salah satunya adalah pembabitan saya dalam drama bersiri digital berjudul Aku Cinta Dia arahan Erma Fatima.

“Selain itu, drama bersiri ini juga bakal disiarkan di platform TikTok yang disifatkan sebagai satu medium terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.

Drama itu dijadualkan menjalani penggambaran di United Kingdom bersempena kesinambungan program Bridge to Brilliance 3.0 Oxford pada Februari tahun depan.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading