Kami mahu duit kami semula

Kami mahu duit kami semula

Klang: “Saya bukan hanya kecewa, malah meluat mendengar kenyataan terbarunya semalam kerana banyak melalut dan seolah nak pusing cerita,” Arif Lee Tuar, 24.

Lelaki mesra disapa Lee itu mengulas mengenai sesi penstriman langsung pempengaruh dan usahawan, Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina, 39, di TikTok, malam tadi.

Lee adalah salah seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri selepas mengambil pakej pelancongan dengan syarikat pempengaruh itu.

Kisahnya pernah mendapat perhatian warganet selepas menceritakan pengalamannya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan menerusi akaun TikToknya.

Menurut Lee, dia dan mangsa lain menonton penstriman langsung itu dengan harapan ada berita gembira untuk mereka khususnya, pemulangan wang berkaitan bayaran trip pelancongan ke Korea Selatan sebelum ini yang belum dilangsaikan Kim Seri.

“Kami nak dengar apa dia nak katakan tapi dia tak menjawab pun (hal berkaitan pemulangan wang), sebaliknya cerita nak ajak pihak yang sudi bekerjasama dengannya.

“Kami tak nak dengar semua itu kerana hanya mahu tahu ke mana duit kami pergi dan bila dia nak membayarnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Lee, kali terakhir Kim Seri bersuara dalam mesej kumpulan WhatsApp mereka adalah pada minggu lalu iaitu beberapa hari selepas dia dengan rakan yang menyertai rombongan pulang ke tanah air.

“Dalam kiriman WhatsApp itu, dia (Kim Seri) minta maaf dan beritahu akan pulangkan semula duit kami tapi tak ada pun.

“Disebabkan itu, saya nekad buat laporan polis baru-baru ini kerana mengenangkan apa dilakukannya dan macam mana susah nak cari duit terutama bagi saya yang baru bekerja.

“Kalau boleh memang nak dapat semula duit itu, sama juga dengan rakan lain yang jadi mangsa,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri dan perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima 24 laporan berhubung individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh membabitkan kerugian mencecah RM454,450.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di Insta Story (IG Story) miliknya pada 17 Disember lalu, Kim Seri memohon maaf kepada pelanggan terkesan dengan trip pelancongan yang tertunda di bawah syarikat miliknya.

Wanita itu memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan wang kepada pelanggan yang terbabit sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

Malam tadi, Kim Seri tampil memberi penjelasan mengenai masalah berkenaan bagi menjawab persoalan orang ramai selepas kisahnya tular, malah dia mendakwa kelemahan pengurusan, peningkatan kos dan kegagalan menguruskan kewangan perniagaan menjadi faktor isu berkenaan berlaku serta memohon maaf sekali lagi.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading