Kuala Lumpur: Reformasi ekonomi memerlukan rakyat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, tanpa mengira latar belakang mereka yang berhasrat memajukan diri.
Ia meliputi individu yang berdepan masalah fizikal atau kesukaran pembelajaran.

Berikutan itu, dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi perhatian serius terhadap keperluan kanak-kanak autistik dengan menyediakan peruntukan besar dalam Belanjawan 2025.
Malah, dalam pembentangan sama, Perdana Menteri turut menekankan kebajikan warga emas yang tinggal bersama waris mereka dengan peruntukan diberi dapat membantu ahli keluarga yang menjaga keperluan golongan ini menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik-baiknya.
Dikurniakan anak istimewa yang didiagnos dengan masalah autisme tidak melunturkan semangat Suraya Abdul Rahman, apatah lagi dengan pelbagai kemudahan disediakan untuk menyokong perkembangan anak-anak autistik.
Suraya, 53, yang juga ibu kepada Ainul Syeefa Zamrol, 13, berkata, inisiatif yang diumumkan untuk perkembangan anak-anak autistik dapat membantu memastikan bahawa anak-anak ini mendapat sokongan diperlukan dalam aspek penjagaan dan pendidikan inklusif yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
Katanya, peruntukan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik, latihan untuk tenaga pengajar dan program intervensi awal adalah langkah yang sangat positif.
“Ini bukan sahaja memberikan peluang kepada anak-anak istimewa untuk belajar dalam persekitaran lebih kondusif tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan mereka.
“Justeru, saya percaya dengan adanya inisiatif ini, ia akan meningkatkan kualiti pendidikan dan sokongan diterima oleh anak-anak autistik ,” katanya yang bertugas sebagai guru.
Menurut Ahmad Iskandar Ahmad Rashid, 41, yang juga bapa kepada anak autistik, Ahmad Iman Hakimi, 14, peningkatan akses kepada rawatan dan sokongan boleh digunakan untuk menambah bilangan pusat intervensi awal dan terapi untuk kanak-kanak autistik.
“Peruntukan dalam penekanan terhadap keselamatan dan perlindungan terhadap anak autistik dapat digunakan untuk melaksanakan program kesedaran, melatih penjaga, guru, dan masyarakat bagi melindungi serta menghormati hak mereka.
“Dengan dana mencukupi, lebih banyak sekolah boleh menyediakan persekitaran mesra autisme seperti kelas inklusif, alat bantu pengajaran khas dan tenaga pengajar terlatih.
“Pada masa sama, peruntukan kewangan menerusi biasiswa serta subsidi untuk pendidikan dapat mengurangkan beban kewangan keluarga yang menghantar anak autistik mereka ke pusat pembelajaran khas atau terapi tambahan,” katanya yang juga penjawat awam.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif berkaitan kebajikan dan pendidikan anak-anak autistik termasuk pembinaan 11 Pusat PERMATA baharu di seluruh negara.
Selain itu, Elaun Murid Berkeperluan Khas RM150 sebulan juga akan disediakan kepada lebih 110,000 murid OKU termasuk murid autisme membabitkan peruntukan RM200 juta.
Malah, Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme turut disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak dan bakal memanfaatkan 30,000 anak autistik dengan dana RM15 juta.
Selain peruntukan untuk anak-anak autistik ini, Belanjawan 2025 turut memberi perhatian kepada kebajikan warga emas dengan beberapa manfaat diberikan termasuk peningkatan bantuan warga emas yang dinaikkan kepada RM600 sebulan.
Inisiatif itu menggembirakan Tajudin Sebli, 62, yang menjaga ibunya, Tiamah Ayup berusia 93 tahun kerana ia dilihat dapat meringankan beban kewangan keluarga nya.
Tajudin berkata, bantuan kewangan itu dapat digunakan untuk membeli keperluan asas ibunya yang memerlukan lampin pakai buang selain ubat-ubatan.
“Ibu ada menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selain pencen arwah bapa dan kedua-dua bantuan kewangan itu digunakan untuk membeli keperluan asasnya.
“Dengan adanya bantuan diumumkan Perdana Menteri ini, ia amat membantu mengurangkan bebanan kewangan kami,” katanya.
Sementara itu, Nur Diyana Juhata, 30, rasa bersyukur apabila manfaat pengecualian cukai diumumkan Perdana Menteri turut diperluaskan bukan sahaja kepada penjagaan ibu bapa tetapi juga datuk dan nenek.
Nur Diyana yang menjaga neneknya, Usamali Abdul Rahim, 82, berkata, inisiatif diumumkan itu dapat meringankan beban mereka memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
“Saya harap bantuan ini akan terus ditingkatkan pada masa akan datang memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.