Kuala Lumpur: “Ini adalah impian beliau (emak) sebelum menghembuskan nafas terakhir.” kata Siti Shazwana Ajak.
Itu antara komen yang membuat air mata pesilat negara, Siti Shazwana gugur kerana tidak mampu menahan sebak selepas muncul juara pada Kejohanan Pencak Silat Dunia Ke-20 dalam kategori Kelas D (Putri) di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad lalu.
Jelasnya, kejayaan yang diperoleh itu bukan sesuatu yang mudah apabila ia tercatat seribu satu kisah suka dan duka termasuk dirinya terpaksa mengharungi detik sukar serta segala pancaroba sebelum mampu menggenggam pingat emas di pertandingan peringkat dunia itu

Tambahnya, ketika beraksi di UAE, dia memang berazam untuk menampilkan persembahan terbaiknya bagi memastikan impian arwah ibunya tercapai.
“Iya (kejayaan muncul juara dunia) ini ada cerita dia, panjang cerita dia. Kejayaan ini saya fokuskan dan tanamkan buat arwah emak saya, ini adalah impian beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Memang impian ibu saya (menang emas) tapi arwah emak saya tidak sempat tengok. Dirinya hanya sempat melihat saya menang pingat perak di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Melaka tahun lepas.
“Dan kali ini beliau tak dapat melihat tapi saya percaya saya menang ini atas semangat emas saya. Alhamdulillah itulah orang kata punca kejayaan saya memenangi dalam memenangi pingat emas kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Untuk rekod, pesilat kelahiran Sabah itu sudah beraksi sebanyak tiga kali termasuk tahun ini di pentas dunia dan dirinya sangat bersyukur dapat menamatkan pertandingan berkenaan di dengan sesuatu kejayaan yang manis dalam kariernya.
“Ini penampilan saya kali ketiga, sebelum ini kali pertama saya menang gangsa, kali kedua perak dan tahun ini saya menang emas.
“Saya mempunyai misi kalau dapat emas di Kejohanan Silat Dunia, kerana ia satu benda yang sukar untuk seorang pesilat itu dapat tapi bila kita sudah capai, itu satu kejayaan besar untuk saya dan saya merancang ini adalah kejohanan dunia terakhir saya,” katanya.
Sebagai makluman, Siti Shazwana adalah antara atlet senior dalam pasukan silat negara dan sering menyumbang pelbagai kejayaan dalam setiap pertandingan yang disertai.
Terdahulu, Malaysia berjaya membawa pulang enam pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa sementara skuad remaja negara pula, turut cemerlang untuk menang lima emas, empat perak dan empat gangsa.