Rangkuman pencapaian komposer dan penyanyi, Aisha Retno, 24, sepanjang tahun lalu cukup berwarna-warni.
Apa yang pasti, namanya kian terbang tinggi sebagai figura seni yang diakui bakat serta kesungguhannya.
Pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam ini berkata, setiap yang tertulis dalam diari 2024 ada kemanisan tersendiri. Tidak kiralah hal yang berbentuk dugaan, baginya dia simpan rapi sebagai teladan.
Mengimbas tahun lalu, Aisha terlalu bertuah memperoleh pencapaian besar berganda untuk tempoh setahun itu sendiri. Memang akuinya perjalanan emosi diri juga ada turun naik, namun terlitup dengan hal-hal lebih manis.

“Tahun 2024 ibarat ‘roller-coaster’ cukup besar buat saya. Allah berikan rezeki dan cabaran yang cukup seimbang. Orang dapat kenali saya dari segi kejayaan dan kontroversi. Tapi saya ambil semua itu sebagai iktibar.
“Saya buka lembaran segar ke 2025 dan jadikan semua itu pengajaran. Demikian juga pencapaian-pencapaian yang cukup indah. Ya, agak mengelirukan namun satu tahun yang manis jadi kenangan.
“Saya dapat sertai satu daripada acara terbesar antaranya Anugerah Juara Lagu, keluar lagu yang tak sangka orang suka juga iaitu Ketipak Ketipung Raya, Samudera dan sebagainya, lebarkan sayap ke Indonesia jayakan Festival Java Jazz,” katanya.
Bagaimanapun, Aisha tidak terlepas berdepan getir tatkala konsert solo yang diimpi-impikannya itu Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang sepatutnya berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur dibatalkan penganjurnya, Kharisma Music International.
Berita itu menjadi sorotan besar dalam industri hiburan juga disebabkan kepincangan yang tercetus antara setiap pihak. Namun, Aisha pilih untuk lebih matang untuk menanganinya dan terus ‘move on’.
Dia yakin cabaran memang banyak tapi semestinya dia percaya dalam hidup sesiapa pun akan kena lalui perkara-perkara begitu. Untungnya, dia berdiri teguh atas sistem sokongan terbaik untuk terus mara.
“Ringkas saja, saya ada ibu bapa, kelab penyokong iaitu Aishalicious dan diri sendiri. Itu paling penting. Tempoh berkabung itu harus ada dengan kes yang cukup berat menimpa itu.
“Saya rasa ia perjalanan cukup normal untuk dilalui setiap anak seni. Mungkin anak seni lain menempuh dugaan berbeza. Saya boleh katakan dugaan itu adalah yang terbesar untuk saya tahun lalu.
“Yang mudahkan dan mungkinkan untuk saya terus maju ke depan adalah memikirkan bahawa ia tidaklah seberat disangka. Ini kerana kalau ada sistem sokongan kukuh, semangat ingin maju akan membara,” katanya.
Namun, segala apa yang berlaku tidak pernah malapkan bara semangat dalam dirinya. Bingkas dia bangkit untuk terus mengejar perjalanan yang cukup jauh lagi ditempuhi sebagai anak seni.
Tiada lain, berbalik kepada tujuan asalnya dalam muzik iaitu berkarya. Aisha sempat menutup 2024 dengan hadiahkan sebuah lagi lagu yang cukup mencuit pendengar serta sarat identiti sendiri berjudul Terbang.
“Lagu Terbang menceritakan mengenai seseorang ingin terbang di awang-awangan apabila jatuh cinta. Sudah hampir setahun juga saya tulis lagu ini. Agak lama juga disimpan. Mesejnya agak ringkas iaitu meraikan cinta.
“Tepat juga dikeluarkan selepas pembatalan konsert itu. Tiada niat lain, hanya untuk hiburkan ramai. Terutamanya istimewa kepada penyokong-penyokong saya, ini adalah cendera hati termanis buat penutupan tahun lalu,” katanya.
Beralih kepada azam baharu, Aisha berseloroh kahwin tiada dalam senarainya. Dia cuma mahu fokus kepada mengembangkan karier seni dan berhasrat untuk lebih strategik merencanakan hala tujunya.
Tiada yang lebih penting untuknya jadikan tiang hidup terkuat sekarang selain menjaga rapi kesejahteraan sendiri. Dia percaya itulah yang akan membawanya meneroka pelbagai peluang besar di depan.
“Apa-apa yang berlaku dalam karier saya sejak dari awal dulu terjadi tanpa sebarang pelan tertib. Mungkin tahun ini saya sudah kena sediakan pelan yang lebih kukuh kerana ini tahun kelima saya berada dalam industri.
“Saya mengimpikan untuk adakan showcase kecil-kecilan. Jika ada ada rezeki, bukan saja di Kuala Lumpur tapi cuba untuk meneroka ke negeri-negeri lain. Paling penting cukupkan lagu kerana saya berhajat keluar album tradisional R&B.
“Saya cuma mahu menjadi diri sendiri yang cukup kuat mental dan fizikal, bahagia, sihat walafiat. Kalau semua aspek itu dijaga rapi, insyallah pelan pun datang secara perlahan-perlahan,” katanya.