Kuala Lumpur : Penerbit juga komposer lagu Pantai Timur terkenal, Eddie Hamid, 62, bersedia menyertai program Gegar Vaganza (GV) akan datang sekiranya masih ada peluang buatnya.
Eddie atau Abdul Hamid Adenan berkata, dia sepatutnya menyertai musim ini (GV11) tetapi tidak dapat berbuat demikian sekali gus terpaksa menolak kerana komitmen kerja yang padat.
“Saya mahu sertai GV akan datang sekiranya ada peluang lagi. Saya dapat peluang untuk jadi peserta GV11, tapi saya tolak ketika itu sebab urusan kerja yang banyak dan tak dapat memberi komitmen.
“Program realiti GV pada saya adalah platform untuk penyanyi lama serlahkan semula bakat. Malah, kita yang buat keputusan untuk setuju menyertai atau tidak sebab ia bukan satu paksaan.

“Cuma, rezeki saya untuk bersaing di pentas GV11 sekarang bersama peserta-peserta lain tidak ada. Bukan saya takut nak terima, tapi tolak peluang itu bersebab,” katanya.
Ditanya juga mengenai kritikan juri profesional yang mungkin akan memalukan diri, Eddie berkata, dia sangat memahami kritikan diberikan juri sudah tentu berdasarkan kepada corak persembahan peserta dan vokal.
“Saya tak kisah dengan komen diberikan oleh juri walaupun pedas sebab faham itu adalah tugas mereka. Seteruk mana atau sebaik mana pun komen itu, sebagai peserta kita kena terima.
“Tak perlu nak rasa malu sebab kritikan dan komen juri itu bersebab. Kalau fikir malu, tak payahlah bersetuju nak masuk bertanding
“Apabila dah kata setuju, itu bermakna kita secara tak langsung sudah sedia jadi peserta. Bagi saya, terima saja komen juri itu dengan tenang dan positif. Pada masa sama, perbaki mana yang ditegur kurang atau lemah itu,” katanya.
Eddie yang juga komposer lagu popular, Cinta Setandan Pisang atau atau Bea Soba Bea berkata, sekiranya ada artis menyifatkan yang diberikan komen juri sebagai memalukan peserta, itu hak mereka.
Ujarnya, apa saja berbentuk komen atau kritikan daripada pihak lain, ia adalah pandangan atau pendapat masing-masing dan terpulang juga sama ada kita mahu terimanya secara positif atau sebaliknya.