Pengerusi Masjid At Taqwa beri penjelasan.

Pengerusi Masjid At Taqwa beri penjelasan.

Kuala Lumpur: Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Datuk Mohd Fadzli Yusof mengakui berlaku pergelutan antara jemaah dengan lelaki yang menceroboh masjid baru-baru ini namun menegaskan kekasaran yang berlaku itu tidak disengajakan.

Mohd Fadzli berkata, jemaah terbabit juga sudah bertemu dan memberitahunya tindakan itu dibuat kerana mahu menjaga kehormatan masjid.

Menurutnya, spekulasi yang timbul adalah disebabkan ramai tidak tahu perkara sebenar dan pihak masjid sudah mempelawa ibu bapa lelaki yang membuat gangguan berkenaan untuk bersemuka semalam bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Orang yang melihat video (tular) tak tahu keadaan sebenarnya dan tuduh serta dakwa insiden itu tak wajar. Sebetulnya ia (gangguan) adalah perbuatan seorang yang tak siuman.

“Jadi yang penting, pertama sekali jangan kongsi, lebih penting jangan bagi komen.

“Pihak masjid tiada masalah, yang masalahnya orang ramai bukan jemaah kita. Jemaah kita yang terbabit dalam kejadian itu pun ada mohon maaf dengan saya, mungkin sedikit kekasaran dan kekerasan,” katanya dalam video penjelasan dimuat naik di akaun TikTok @suaramadani_official.

Di akhir video, Mohd Fadzli turut memohon orang ramai mendoakan masjid sentiasa dalam keadaan baik dan dalam keredaan Allah SWT.

Menceritakan semula apa yang berlaku, Mohd Fadzli berkata, beliau ada di dalam masjid ketika kejadian bersama kira-kira 10 hingga 15 jemaah lain yang semuanya warga emas berusia lingkungan antara 60 hingga 70 tahun.

“Apa yang berlaku ialah kira-kira jam 5.35 pagi, kami dengar suara orang memekik di belakang masjid dan kemudian menceroboh masuk di bahagian muslimat, di bahagian dalam, di belakang tiang.

“Saya tengok muslimat yang semuanya warga emas bertempiaran lari. Pada mulanya saya ingat (individu yang membuat gangguan) adalah muslimat, tiba-tiba keluar pintu itu seorang lelaki yang besar badan tegap yang dipeluk seorang lagi lelaki cuba menghalang dia masuk.

“Pada mulanya pada waktu itu banyak yang menyangka (lelaki berkenaan) bukan orang Malaysia, ternyata akhirnya rakyat Malaysia dan dia tidak mabuk.

“Jadi apa yang berlaku kita cuba (panggil) pengawal keselamatan, kita telefon polis kerana abang dan bapanya tak cukup sebab badan dia (lelaki membuat gangguan) besar dan kuat, umur 25 tahun, memang gagah dan kuat,” katanya.

Katanya, jemaah yang ada hanya cuba membantu meleraikan keadaan dan mereka hanya tahu masalah kesihatan lelaki itu selepas diberitahu pihak polis.

“Orang tak siuman ini, dia memang ada tenaga tambahan dan jemaah kita yang ada semuanya warga emas cuba nak bantu.

“Jadi apabila dalam usaha nak buat bantuan itu, adalah sedikit pergelutan, timbullah sedikit kekasaran barangkali,” katanya.

Terdahulu, tular video seorang lelaki bukan Islam disyaki mengalami gangguan mental dilaporkan menceroboh Masjid At Taqwa TTDI, awal pagi Rabu lalu.

Kejadian sebelum solat Subuh itu tular menerusi laman Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan suspek yang membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu, mengalami masalah mental sejak April 2022.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading