Kuala Lumpur: Isu dadah dengan industri hiburan seakan sudah sebati sejak dahulu hingga sekarang.
Sudah sinonim apabila menyebut najis dadah, golongan artis tidak lari dikaitkan dengan isu ini.
Apa sahaja perkataan keji mengenai dadah antaranya najis terkutuk merosakkan diri, tidak memberi sebarang kesan terhadap penagih tegarnya.
Isu penangkapan dua pelawak dan kematian empat pengunjung konsert sempena sambutan tahun baharu 2025 baru-baru ini ternyata menggemparkan masyarakat.

“Macam saya kena dulu, mungkin masa itu saya dah terlebih laju, dah ghairah sangat buat keburukan. Jadi perbuatan saya itu mungkin akan boleh merosakkan dunia,” katanya.
Ameng berkata, sekiranya tidak tertangkap, dia mungkin boleh mempengaruhi orang lain lagi untuk turut sama menghisap dadah.
“Macam saya dulu pun begitu juga tak ambil pengajaran. Kita dah tengok orang yang sebelum ini kena tangkap. Tapi kita masih lagi rasa tak akan kena. Seolah-olah kita ini kebal dan yang tak kebal itu orang lain.
“Tapi apabila jadi macam itu sebenarnya ambil dadah tak berbaloi. Sebagai contoh kita tengok Yasin Sulaiman kena penjara seumur hidup, jadi ambil dadah memang tak berbaloi.
“Kadang-kadang kita anggap benda ini sebagai hobi saja untuk suka-suka, tapi benda ini menyalahi undang-undang yang ada dalam negara dan hukuman dia berat,” katanya.
Ameng berkata, kesan dadah bukan sahaja memudaratkan dirinya, tetapi keluarga dan anak-anaknya.
“Saya terpaksa meringkuk dalam penjara dalam satu masa yang lama dan kena rotan lagi. Jadi tak berbaloilah. Macam saya dulu, siapa nak tolong saya?
“Dadah itu pun tak boleh tolong saya. Saya pun tak boleh hisap dadah kalau dah duduk dalam penjara. Dalam penjara dadah tak ada. Itu yang menyebabkan saya sedar dalam penjara.
“Saya rasa dadah ini tipu saya. Masa gembira saja dia ada tapi bila saya susah dia tak ada. Dan kita terpaksa menanggung benda itu seorang diri,” katanya.
Paling menyedihkan apabila terpaksa meninggalkan keluarga dan anak-anak yang ketika itu masih kecil.
“Macam saya dulu pun anak tengah kecil lagi. Bukan nak kata orang lain saya sebenarnya kata diri saya sendiri.
“Sebenarnya kalau boleh jadikan orang yang sebelum kita ini, yang pernah mengalami benda sebagai pengajaran,” katanya.
Atu gesa masyarakat jauhi bahan terlarang
Kuala Lumpur: Pelawak Atu Zero menasihatkan orang ramai supaya menjauhi najis dadah kerana melihat pada kesan kesihatan terhadap pengambilan bahan terlarang terbabit.
Atu atau Sharif Kunal Doli Sharif, 33, berkata, bahan terlarang itu juga hanya memberikan nikmat sementara berbanding kesan negatif berpanjangan.
“Janganlah terjebak dengan perkara negatif itu. Mereka tak tahu ke mana dan ada yang sudah tidak waras.
“Kalau balik kampung saya jumpa mereka saya akan nasihatkan supaya tinggalkan benda (dadah) ni, maaf cakap benda ni sedap sekejap sahaja cuma penderitaan panjang,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai membabitkan selebriti yang menjadi tumpuan selepas terbabit dalam penyalahgunaan dadah, Atu mengakui ia sedikit sebanyak menjejaskan imej industri hiburan.
“Saya akui sedikit sebanyak imej artis itu terjejas apabila dikaitkan dengan dadah.
“Saya bukanlah orang baik tapi kita cuba buat baik supaya jadi contoh bagi mereka di luar sana,” katanya yang pernah bergaul dengan penagih dadah ketika usia muda.