Kuala Lumpur: Pelakon, Luqman Hafidz, 32, mendedahkan dia mengalami gangguan mistik ketika melakonkan watak Sultan Melaka dalam Teater Muzikal Puteri Hang Li Po yang dipentaskan di Encore Melaka, Oktober lalu.
Luqman atau nama sebenarnya, Muhd Luqman Hafidz Mohd Fauzi berkata, ia juga kali pertama dia mengalami gangguan sebegitu sepanjang terbabit dalam pementasan teater tempatan.

“Sebenarnya, saya sudah berasa kurang sihat dan ambil ubat di klinik sebagai persediaan pada hari persembahan. Saya pernah buat perkara yang sama ketika teater Ola Bola dulu dan selalunya selepas ‘drip’ ubat, saya sudah okay.
“Tapi ia berbeza dengan teater kali ini. Bila saya masuk set dengan kostum watak Sultan Melaka untuk babak aksi bersilat, saya terus muntah dan tidak bertenaga.
“Pementasan teater bermula jam 8 malam tapi pada jam 5 petang, saya sudah lemah dan tidak bertenaga,” katanya.
Mengenai gangguan mistik, kata Luqman, pelakon, Dewi Seriestha yang melakonkan watak Puteri Hang Li Po dalam teater itu juga sudah memberi amaran padanya supaya berhati-hati jika terbabit dalam teater bangsawan.
“Saya juga pergi berubat dengan ‘acting coach’ dan dia juga minta saya baca selawat serta membaca ayat-ayat suci sebagai pendinding.
“Selepas saya baca ayat yang diajar dan solat, badan berasa panas dan selepas itu, baru saya dapat tidur dan kembali okay,” katanya.
Luqman berkata, dia menyifatkan gangguan mistik sebagai satu pengalaman dalam meniti kerjaya sebagai anak seni.