Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru kebangsaan, Jonah Chang Rigan optimis mampu melakukan lontaran lebih 19 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Asia di Korea Selatan, Mei depan.
Jonah sedar bukan mudah untuk mendapatkan jarak itu, namun sekiranya berjaya, sudah pasti itu akan membuka peluang lebih tinggi untuk membawa pulang pingat.

“Fokus saya lebih kepada untuk membuat lontaran sejauh 19m atau 20m.
“Bukan untuk mendapatkan pingat, tetapi mahu mencari pengalaman kerana ini kali pertama saya menyertai kejohanan itu dan saya masih muda.
“Kejohanan itu disertai atlet Asia, jadi tahapnya lebih tinggi berbanding Sukan Sea.
“Berdasarkan catatan saya di Pahang (Kejohanan Super Siri Olahraga Terbuka), saya sudah berada dalam senarai kelayakan,” katanya.
Atlet kelahiran Sarawak itu adalah pemegang rekod kebangsaan dengan lontaran 18.46m yang dilakukan pada Kejohanan Super Siri Olahraga Terbuka Pahang pada Mei lalu.
Tambahnya, dia berharap momentum cemerlang di Korea Selatan itu dapat diteruskan ke Sukan Sea 2025 Thailand dan mengelak daripada sebarang kecederaan.