Ipoh: “(Saya) minta nak masuk Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), saya ada rekod masuk (HBUK) Tanjung Rambutan. Saya pernah masuk HBUK dua kali…. Kali pertama (selama) sebulan dan kali kedua selama enam bulan.”
Itu permintaan Muhammad Firdaus Zohare, 32, di hadapan Hakim, Azizah Ahmad selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan di Jalan Kampar, di sini, hujung Disember lalu.

Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kemudiannya membenarkan tertuduh yang juga penghuni pusat jagaan yang sama menjalani pemantauan di HBUK, Tanjung Rambutan selama sebulan dan menetapkan tarikh 18 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Firdaus didakwa menyebabkan kematian Muhammad Afiq Wafiuddin Lokeman, 26, di sebuah pusat jagaan pesakit psikiatri di Lengkok Batu Bungkal, Housing Trust, di sini kira-kira 7.45 pagi, 31 Disember lalu.
Pertuduhan itu dibaca mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R S Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Vitthiyeswary meminta mahkamah menetapkan tarikh lain untuk jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan mangsa selain mengesahkan keadaan mental tertuduh yang sudah menghuni di pusat jagaan itu sejak lapan tahun lalu.