Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Amira Othman mengaminkan setiap doa berkaitan jodoh apabila namanya dikaitkan dengan pelakon yang dilabel ‘Duda Terhangat’ iaitu Fattah Amin, baru-baru ini.

Amira, 32, berkata apa sahaja doa yang berunsur kebaikan akan diaminkannya dan tidak semestinya yang berkaitan jodoh.
“Pada saya, asalkan doa itu baik, tak semestinya urusan jodohlah, kan. Rezeki, urusan kerja, asalkan doa itu yang baik, kita aminkan sahajalah.
“Tak adalah saya nak menentang atau apa sebab saya pun tak tahu apa yang baik untuk saya. Jadi, asalkan doa itu baik, saya aminkan sahaja,” katanya
Ditanya mengenai namanya terkait mempunyai hubungan mesra dengan Fattah dan didakwa hanya sekadar gimik, Amira berkata, dia akan menjawab semuanya pada esok hari di satu majlis yang akan berlangsung esok.
“Yang ini, saya simpan komen itu dan akan jawab esok sebab majlisnya esok,” katanya.
Terdahulu, nama Amira disebut sebagai antara wanita yang kini berhubungan mesra dengan Fattah selepas pelakon itu bercerai dengan bekas isteri yang juga pelakon, Nur Fazura.