Rumah artis Hollywood musnah

Rumah artis Hollywood musnah

Los Angeles: Kebakaran dua hutan besar yang menular dari arah timur dan barat Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), sejak 6 Januari lalu turut membabitkan selebriti terkenal Hollywood apabila kediaman mewah mereka terbakar dalam kejadian di Malibu, Pacific Palisades dan Beverly Hills.

Antara selebriti yang menjadi mangsa adalah Paris Hilton berikutan kediamannya yang dianggarkan bernilai $8.4 juta (RM37 juta) di Malibu, hangus dijilat api.

Pelakon dan penyanyi itu meluahkan rasa sedih dan menganggap insiden getir sebagai pengalaman menyakitkan. Hilton hilang kediaman yang nilai sentimental buat dirinya dan keluarga.

Bagaimanapun, Hilton bersyukur sempat menyelamatkan diri bersama empat ekor anjing kesayangannya, selain menghargai usaha menyelamat yang digerakkan pihak berkuasa.



“Rumah itu meninggalkan banyak memori berharga,” katanya melalui hantaran dimuat naik dalam media sosial.

Turut terkesan dengan kebakaran dahsyat itu adalah pelakon legenda, Mel Gibson apabila rumah agam didiaminya sejak 15 tahun lalu musnah. Insiden itu meninggalkan kesan emosi mendalam kepada pengarah dan pelakon senior itu.

Perkara berkenaan dikongsinya ketika menjayakan rakaman audio siar atau podcast bersama Joe Rogan.

Gibson yang juga pemenang Oscar dilapor memberitahu, hartanahnya di Malibu, terbakar sepenuhnya.

Pelakon terkenal, Jeff Bridges turut terkesan dengan tragedi itu apabila kediaman yang diwarisi bersama adik-beradiknya daripada ibu bapa mereka di Malibu, musnah dijilat api.

Insiden itu dikatakan mencatat satu lagi episod hitam selepas Bridges dikesan menghidap kanser limfoma pada 2020.

Bagaimanapun, Bridges dilapor bersemangat dan fokus kepada projek seni dan kesihatannya dalam menghadapi pelbagai cabaran itu.

Seorang lagi pelakon legenda, Sir Anthony Hopkins yang juga pemenang dua kali Oscar melalui filem The Silence of the Lambs dan The Father, hilang dua rumah agam dalam kebakaran di Pacific Palisades, menurut pengesahan sumber kepada Hollywood Reporter.

Dalam mesej yang dimuat naik di Instagram, Hopkins berkata:

“Satu-satunya perkara yang kita bawa bersama adalah kasih sayang yang kita berikan.”

Pasangan Heidi Montag dan Spencer Pratt yang terkenal melalui rancangan The Hills turut kehilangan rumah mereka di Pacific Palisades, California.

Spencer menyatakan perasaan kecewanya di mana kehilangan rumah adalah perkara terburuk dalam hidupnya.

Pasangan Leighton Meester dan Adam Brody juga tidak terkecuali apabila rumah mereka yang bernilai $6.5 juta (RM29 juta) di Pacific Palisades, musnah dalam kebakaran.

Rumah mewah itu merangkumi daripada lima bilik tidur dan enam bilik mandi selain pemandangan laut menakjubkan.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading