Pemandu lori tiang elektrik maut.

Pemandu lori tiang elektrik maut.

Ranau: Usaha menyelamatkan seorang pemandu lori yang membawa muatan tiang elektrik mengambil masa hampir 19 jam selepas treler yang dipandunya itu terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kampung Nabutan di sini, pagi semalam.

Mangsa Mohd Raziman Sahrin, 30, akhirnya berjaya dikeluarkan 2.50 pagi tadi, bagaimanapun dia yang ditemukan tertimbus dengan tanah disahkan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.41 pagi dan ketika tiba di lokasi, didapati sebuah treler dengan muatan tiang elektrik jenis konkrit terbabas dan terjunam ke gaung.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu tertimbus di bawah treler. Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan kaedah mengorek tanah menggunakan peralatan khas, namun gagal.

“Pasukan bomba terpaksa menunggu bantuan kren dari Kota Kinabalu dan ia tiba kira-kira 6 petang. Kerja-kerja mengangkat treler itu dijalankan tetapi tidak berjaya dengan tiga kali percubaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pada 7.50 malam, teknik diubah dengan mengalihkan tiang-tiang elektrik sebanyak 60 hingga 70 batang.

“Seterusnya pasukan bomba dengan kaedah mengorek timbunan tanah menggunakan peralatan khas akhirnya mangsa berjaya dikeluarkan pada 2.50 pagi tadi.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, operasi penyelamatan dijalankan 13 anggota termasuk pegawai dengan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), syarikat kren dan keluarga mangsa.

“Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 3.12 pagi,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading