Tiada siapa cari selama 10 tahun.

Tiada siapa cari selama 10 tahun.

Selepas lebih 11 tahun, akhirnya penyanyi dan pelakon, Top bersemuka dengan media buat kali pertama sempena pembabitannya dalam siri fenomena Squid Game 2.

Kali terakhir Top atau nama sebenarnya Choi Seung-hyun, 37, mengadakan temu bual bersama media adalah pada 2014 ketika mempromosikan filem berjudul Tazza: Hidden Card.

Peluang itu merungkai pelbagai cerita dan rasa terpendam berhubung keputusannya ‘mendiamkan diri’.

Daripada cerita berdepan masalah pengambilan bahan terlarang hingga setuju menerima watak Thanos dalam Squid Game 2.


“Saya merasa ada keperluan untuk memohon maaf atas segala yang berlaku. Saya juga rasa kurang komunikasi menjadi punca pelbagai salah faham tercetus.

“Selepas lama mempertimbangkannya, saya mendapat kekuatan untuk tampil ke depan. Ketika saya masih berusia 20-an, saya menikmati saat kegemilangan dan meraih kasih sayang yang tidak terhitung.

“Bagaimanapun, saya kemudian tersungkur akibat kesilapan saya. Berdepan kejatuhan sebegitu mengakibatkan mental saya punah,” katanya.

Untuk mendapatkan kekuatan bangkit semula bukan proses mudah buat Top. Malah, kejatuhan itu benar-benar memakan diri sehingga memudaratkan keperibadiannya.

“Saya bergelut untuk membuat keputusan secara rasional, semua hal terasa negatif dan timbul kebencian terhadap diri sendiri. Natijahnya, saya lakukan banyak kesilapan angkara kurang bijak menilai.

“Saya benar-benar menyesal segala kesilapan itu dan bermuhasabah diri seikhlas hati terhadapnya,” kata bekas anggota BigBang itu.

Hakikatnya, Top pernah nekad untuk menoktahkan kerjaya seni dan tinggalkan industri hiburan. Namun, dia mengubah fikiran apabila ditawarkan untuk watak Thanos itu.

“Tiada siapa mencari saya dalam tempoh 10 tahun. Kemudian, pengarah, Hwang Dong-hyuk mempelawa saya untuk uji bakat dan saya ingin balas kepercayaan itu dengan memberi lakonan cemerlang.

“Sejujurnya saya tidak merancang pun hendak kembali dalam industri hiburan sebelum itu. Menghadiri uji bakat pun sebuah keputusan cukup mencabar. Ada risiko imej saya akan dikaitkan dengan watak itu,” katanya.

Kegusaran Top terbawa-bawa ke set penggambaran. Watak Thanos dengan imej lelaki bermasalah dan pemberontak ibarat menyentak diri mengenai kisah silamnya.

“Menjalani penggambaran babak di mana watak itu mengambil dadah sangat menyeksa mental. Saya seperti bertarung dengan diri sendiri, tapi pada masa sama, watak itu memang ditakdirkan,” katanya.

Pembawaan Top untuk watak Thanos itu ternyata mencetus pelbagai maklum balas. Media Korea Selatan menyifatkan lakonannya berlebih-lebih dan menjengkelkan.

Sebaliknya, dia mendapat pujian dari luar negaranya yang memuji watak Thanos sebagai penyanyi rap itu menyuntik lagi pesona terhadap drama terbabit.

“Saya terima segala pendapat dengan rendah hati kerana sudah menjadi hak penonton untuk menilai lakonan seseorang. Kalau Thanos penyanyi rap hebat, dia tidak akan sertai permainan sebegitu.

“Dia juga tidak akan bertukar artis hip-hop bawahan dan mengambil dadah. Pembawaan berlebih-lebihan dan lirik rap mengarut itu semua adalah sebahagian daripada konsepnya,” katanya.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading