Kuala Lumpur: “Saya berniat mainkan perasaan Harith Iskander sahaja, saya tiada maksud lain, saya minta maaf kepada keluarga mangsa.”
Demikian rayuan tukang rumah yang dipenjara lima bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana melakukan ugutan jenayah kepada pelawak Harith Iskander dan keluarganya, awal Januari lalu.

Majistret S Mageswary menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Izzuddin Md Salim, 30, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 24 Januari lalu dan penjara sebulan jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang masih bujang didakwa menghantar WhatsApp berserta gambar yang mengandungi kata-kata ugutan yang kemudian diterima oleh bekas isteri Harith, Jezamine Lim.
Kandungan Whatsapp itu kemudian dibaca Jezamine di sebuah restoran, di sini pada 8.50 pagi 23 Januari lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan, polis menahan lelaki yang disyaki mengeluarkan ugutan terhadap Harith dan keluarganya.
Ancaman dipercayai dibuat selepas pelawak berkenaan memuat naik hantaran di media sosial mengenai topik ham dan disambut pengikutnya dengan pelbagai komen termasuk didakwa mengaitkan nama Nabi Muhammad SAW.