Dalam hamparan industri muzik yang penuh warna dan cabaran, nama Aina Abdul terus mekar sebagai bunga yang tidak gentar menghadapi sebarang kemelut.
Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad ini, Aina mengaku debaran semakin dirasainya meskipun sudah terbiasa menapak di gelanggang berprestij itu.

Bukan kerana kurangnya keyakinan, tetapi kerana dalam setiap persembahan, Aina bukan sekadar menyanyi sebaliknya mencipta sebuah kisah, menghidupkan emosi, dan menjulang seni ke tahap yang lebih tinggi.
Seiring waktu yang semakin dekat ke detik pertarungan, Aina terus mengasah seninya, menyulam perasaan dalam setiap nada, dan bersiap sedia untuk memberikan persembahan yang bukan sekadar memukau, tetapi meninggalkan nostalgia.
“Semakin kerap saya diberikan peluang untuk bersaing di pentas AJL, semakin banyak pula suara yang mempersoalkan kedudukan saya dalam industri.
“Ramai yang mungkin beranggapan saya sudah selesa berada di tahap ini, namun hakikatnya tidak.
“Saya sentiasa berdepan tekanan dan pelbagai cabaran yang menguji kemampuan serta ketahanan diri.
“Kini, saya berada dalam situasi yang mana saya perlu berusaha lebih keras berbanding sebelum ini demi memastikan kelangsungan kerjaya saya dalam industri muzik,” katanya.
Mengakui persiapan menuju persembahan menerusi lagu Puas Sudah sudah hampir siap sepenuhnya, Aina berharap hari sejarah itu akan berlangsung dengan jayanya.
“Saya dan pasukan sedang berusaha keras untuk memastikan segala persiapan berjalan lancar.
“Tahun ini, persembahan saya akan mencerminkan kekuatan sebenar lagu Puas Sudah, yang begitu bermakna buat saya secara peribadi kerana ia membawa pelbagai emosi dan perasaan.
“Kalau saya kongsi lebih banyak sekarang, nanti tiada lagi kejutan. Saya hanya berharap semua dapat menantikan persembahan saya di AJL39 nanti,” katanya.
AJL39 tentunya akan menyaksikan kejutan demi kejutan termasuk daripada Aina.
Menyentuh mengenai kos persembahan, Aina akui akan tetap berhabis seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
“Setiap tahun, saya memang berhabis kerana bagi saya, pentas AJL sangat istimewa. Jika saya tidak memberikan sepenuh jiwa dan raga, pasti akan terasa sesuatu yang kurang.
“Meletakkan sepenuh hati juga bermaksud bersedia melaburkan kos yang diperlukan. Saya menganggap industri ini sebagai satu pinjaman buat kita semua, dan saya amat menghormati pentas AJL.
“AJL adalah medan keramat yang membuka banyak pintu rezeki. Saya tidak akan sesekali mengkhianati pentas ini,” katanya.
Sengaja mengusik soalan apabila penyanyi Hafiz Suip mendedahkan terdapat netizen yang memintanya untuk menewaskan Aina dalam kategori Vokal Terbaik, pelantun lagu Semalam berkata, setiap orang berhak bersuara dan mempunyai pilihan.
“Saya menghormati setiap pandangan, termasuk mereka yang mahu melihat persaingan sengit dalam kategori Vokal Terbaik.
“AJL ini adalah medan yang penuh dengan bakat hebat, dan setiap tahun, saingan semakin sengit. Saya percaya setiap penyanyi yang bertanding di AJL memiliki kekuatan tersendiri, termasuk Hafiz yang dikenali dengan vokal luar biasa.
“Kalau ada yang mahu melihat saya ‘ditumbangkan’, itu perkara biasa dalam pertandingan. Saya ambil ia sebagai satu cabaran untuk terus memperbaiki diri dan memberikan sesuatu yang lebih baik setiap tahun,” katanya.