KOTA KINABALU 1 Jun – Seramai 300 individu termasuk pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan yang dikaitkan dengan ajaran sesat ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan pihak berkuasa di sebuah sekolah menengah di Likas, dekat sini, semalam.
Penahanan itu dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan aduan awam mengenai penganjuran satu program selama dua hari yang dipercayai menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, hasil semakan mendapati Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung di sekolah berkenaan mempunyai kaitan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak 2007.
“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah. Program turut dihadiri pimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) selain ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut merampas pelbagai bahan yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan, termasuk 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan itu.
Selain itu, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran terbabit, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan tersebut turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS.
“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan,” katanya turut menasihatkan orang ramai mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan fahaman menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.