KLUANG 2 Jun – Kemalangan ngeri yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang, dekat sini, tengah hari semalam dipercayai berpunca daripada tindakan dua pemandu kereta mewah memandu secara laju dan melulu sehingga mengakibatkan satu daripadanya hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati sebuah BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari bandar Kluang menuju ke Simpang Renggam.
Menurut beliau, kenderaan itu dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.
“Polis menerima laporan kemalangan pada jam 1.15 tengah hari membabitkan lima buah kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan.
“BMW 530e itu merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
“Akibat rempuhan itu, pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun.
“Kesemua mereka meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu BMW 530e turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Dalam kejadian sama, dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Alza, masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun, mengalami kecederaan di kepala dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Pemandunya pula lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan.
“Kesemua mangsa cedera mendapat rawatan di hospital sama dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu Mercedes Benz A250 serta merampas kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang dan permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42 (1) akta sama, kerana memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.