9 Julai 2026 – Dalam dunia fesyen, satu perkara yang pasti ialah sejarah tidak pernah benar-benar hilang. Ia berputar. Ia kembali. Dan setiap kali ia kembali, ia hadir dengan tafsiran yang lebih segar. Begitulah yang berlaku pada fesyen Hari Raya hari ini nostalgia menjadi inspirasi utama.
Daripada potongan kebaya klasik, sulaman tangan tradisional, sehinggalah permainan tekstur songket dan batik lama, elemen warisan kini kembali menjadi pilihan utama pereka dan peminat fesyen. Apa yang suatu ketika dahulu dianggap “fesyen orang lama”, kini tampil sebagai simbol keanggunan moden.
Fesyen Itu Berputar, Bukan Hilang
Dalam teori fashion cycle, tiada satu trend yang benar-benar lenyap. Ia hanya berehat sebelum kembali. Era 50-an, 60-an, 80-an semuanya pernah membuat kemunculan semula dalam versi moden.
Hari ini, nostalgia Melayu menjadi gelombang besar.
Filem-filem lama, drama klasik dan arkib foto lama menjadi sumber inspirasi. Kebaya ketat berpotongan feminin, kain batik lepas, kerongsang tiga serangkai elemen yang pernah menghiasi layar perak kini menjadi rujukan utama pereka kontemporari.
Ikon filem-filem lama seperti Sarimah, Latifah Omar,Maria Menado dan Biduanita Puan Sri Saloma dan ramai lagi pernah mengangkat gaya Melayu klasik dengan penuh karakter. Rekaan wanita melayu lama yang cukup angun dalam potongan kebaya pendek mahupon kebaya kota bahru dipadankan dengan batik lepas. Malah trend peplum dan silhouette mermaid menjadi sorotan sehingga harini.
Hari ini, generasi baharu kembali mencari “rasa” itu.
Gema Nusantara: Warisan yang Dimodenkan

Koleksi Raya bertemakan “Gema Nusantara” oleh Firdaus Hakimi memperlihatkan bagaimana warisan diterjemah dalam bahasa moden. Siluet klasik seperti kebaya dan potongan kurung tradisional diperkemas dengan struktur lebih tajam, kemasan lebih bersih dan permainan tekstur yang halus.
Warna-warna seperti emas lembut, merah delima dan hitam klasik membangkitkan aura aristokrat Melayu lama, tetapi dengan teknik jahitan kontemporari. Perincian sulaman flora dan motif tradisi memberi sentuhan nostalgia tanpa kelihatan lapuk.
Inilah kekuatan nostalgia dalam fesyen ia bukan sekadar meniru masa lalu, tetapi menghidupkannya semula dengan tafsiran yang relevan untuk wanita moden.
Inspirasi Bonda: Melayu Jawa yang Bangkit Dengan Jiwa

Berbeza tetapi sama kuat, pereka Hasfitri membawa nostalgia ke tahap yang lebih emosional.
Inspirasi daripada bondanya sendiri menjadi asas koleksi beridentitikan Melayu Jawa. Renda klasik, batik bercorak geometrik, kebaya panjang yang lembut semua ini bukan sekadar elemen reka bentuk. Ia memori. Koleksi yang menonjolkan warna hitam putih ini mungkin sebagai penghormatan tanda memori kasih anak kepada bondanya.
Dalam dunia fesyen yang sering mengejar sensasi, pendekatan peribadi ini terasa lebih tulen. Apabila seorang pereka mengangkat kisah ibunya sebagai inspirasi, fesyen itu berubah menjadi naratif.
Dan naratif itu menyentuh.
Mengapa Klasik Sentiasa Relevan?
Persoalannya, mengapa fesyen klasik tidak pernah benar-benar tenggelam?
Jawapannya terletak pada nilai asas reka bentuk. Potongan kebaya misalnya, dibina berdasarkan keseimbangan bentuk tubuh dan struktur yang anggun. Songket dan batik pula membawa motif yang kaya simbolik. Unsur-unsur ini tidak lapuk dek zaman kerana ia berakar pada identiti budaya.Dalam era fesyen pantas dan trend yang berubah setiap musim, masyarakat mula mencari sesuatu yang lebih bermakna. Nostalgia memberi rasa kestabilan dan kesinambungan. Ia mengingatkan kita kepada keluarga, kampung halaman dan memori pagi Syawal bersama insan tersayang.
Hari ini, generasi muda semakin berani menggabungkan elemen lama dan baharu. Kebaya klasik dipadankan dengan tumit moden. Samping tradisional digayakan dengan potongan minimalis. Renda lama diberi struktur kontemporari. Nostalgia bukan lagi simbol usia, tetapi simbol selera yang matang. Ia menunjukkan penghargaan terhadap warisan dalam bentuk yang lebih segar.
Tambahan pula, dalam era media sosial, estetika klasik sering kelihatan lebih eksklusif dan berkarakter berbanding trend sementara. Busana berinspirasikan warisan memberi dimensi visual yang lebih dalam dan tidak sekadar bergantung kepada warna viral semata-mata.
Klasik Itu Selamanya
Akhirnya, fesyen nostalgia bukan sekadar trend bermusim. Ia adalah pengiktirafan bahawa warisan mempunyai nilai yang tidak luput. Potongan klasik, motif tradisi dan identiti budaya akan sentiasa relevan selagi ia diterjemahkan dengan kepekaan zaman.
Hari Raya bukan sekadar tentang pakaian baharu. Ia tentang menghidupkan kembali rasa keluarga, rasa tradisi, rasa akar budaya.
Dan dalam dunia yang sentiasa berubah, mungkin yang paling kekal adalah yang pernah ada sejak dahulu.
Disediakan oleh
Khalik Mustafa
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan Seni Reka
UiTM Cawangan Perak