Hidup musnah kerana ingin tambah ketinggian

Hidup musnah kerana ingin tambah ketinggian

China: Pembedahan meningkatkan ketinggian mencetuskan kontroversi di China, selepas dua individu meluahkan kekesalan mereka selepas menjalani prosedur itu.

South China Morning Post (SCMP) memetik Henan TV di tengah China melaporkan bahawa seorang wanita dari wilayah Jiangsu timur, membelanjakan 600,000 yuan (kira-kira RM368,120) untuk ke luar negara bagi menjalani pembedahan yang diharap akan menjadikannya dia lebih tinggi 13 sentimeter (sm).

Nama negara dituju tidak didedahkan dalam laporan itu.

Bagaimanapun, pembedahan itu tidak membawa berita gembira tetapi mimpi ngeri buat wanita itu kerana menyebabkannya mengalami beberapa masalah fizikal.

Selain jangkitan tulang, wanita itu tidak dapat berlari atau berjalan dengan cepat, dan mengalami kesukaran bernafas.

“Hidup saya musnah. Jika ada pembedahan untuk memulihkannya, saya akan lakukannya” katanya.

Selain itu, seorang lelaki berusia 29 tahun dari wilayah Henan di tengah China berkata, dia berasa rendah diri kerana tingginya hanya 164 sm dan menjalani pembedahan yang sama di hospital awam di China, yang menelan belanja lebih daripada 100,000 yuan (kira-kira RM61,353).

Katanya, dia bukan sahaja tidak berpuas hati dengan ketinggian baharu selepas menjalani pembedahan, malah menyebabkan panjang setiap kakinya adalah berbeza.

“Saya tidak lebih tinggi daripada sebelumnya. Apatah lagi saya kini hilang upaya,” katanya.

Pakar perubatan berkata, prosedur sambungan anggota badan membabitkan tulang kaki yang dipatahkan, dipisahkan, dan diperbetulkan dengan bantuan alat logam luaran.

Kaki pesakit kemudiannya diregangkan untuk tempoh tertentu yang ditetapkan.

Menurut peraturan pada 2006 oleh Kementerian Kesihatan negara itu, pembedahan menambah saiz kaki atau tangan hanya boleh dijalankan untuk mereka yang mengalami kecacatan kongenital atau yang tulangnya berbeza panjang kerana kecederaan, tumor atau jangkitan. Ia dilarang bagi tujuan kosmetik.

Leave a Reply

Discover more from mediapanasonline.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading