Kuala Lumpur: Penguasaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) nyata sukar digugat apabila gergasi tanahair itu terus ‘mengunci rapat’ Piala FA dalam kabinet selepas menang besar ke atas Selangor FC dengan 6-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio mempertahankan mahkota kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut dan kelima secara keseluruhan pada 2016, 2022 dan 2023, termasuk pada 1998 ketika di bawah Johor FA.

Lebih manis, kemenangan besar itu turut dibantu dengan jaringan hatrik bekas pemain remaja Sepanyol, Juan Muniz dengan dua daripadanya dihasilkan menerusi sepakan percuma cantik.
Sebaliknya skuad Red Giants terpaksa akur dan perlu menunggu lagi selepas kali terakhir mendakap Piala FA pada 2009 lalu.
Malah, dengan kejayaan skuad Harimau Selatan itu juga meletakkan mereka sebaris Selangor dan Kedah yang muncul pasukan paling banyak memenanginya dengan lima kali.
Dalam aksi itu, kedua-dua pengendali membariskan skuad terkuat dengan masing-masing mempertaruhkan penyerang berbisa Bergson da Silva buat JDT manakala Ronnie Fernandez buat Selangor.
Sebaik wisel permulaan ditiupkan, JDT jelas menguasai aksi di mana amaran awal hadir menerusi percubaan tepat Arif Aiman Hanapi pada minit ke-11 yang mudah didakap Sam Samerville.
Tiga minit kemudian, anak buah Nidzam Jamil membalas dengan tandukan Fernandez yang menerima hantaran lintang Alvin Fortes namun percubaan itu hanya melintasi gawang JDT.
Begitupun Muniz memanfaatkan sepakan percuma dari luar kotak penalti apabila sepakannya menuju tepat ke penjuru tiang kiri Samerville untuk meletakkan JDT mendahului 1-0 pada minit ke-25.
Pemain sensasi negara, Arif Aiman Hanapi menambah gol kedua di minit 41 buat memastikan juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu mendahului dengan selesa sebelum melangkah ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua, Selangor cuba bangkit dengan gol Fortes di awal permainan pada minit ke-59 sekali gus merancakkan tempoh permainan.
Malam ‘ngeri’ Selangor bermula pada minit 62 apabila Bergson menambah gol ketiga sebelum Muniz menambah dua gol lagi (minit 67 dan 89) dan satu menerusi Heberty (m-76).
Sumber: harianmetro