Kuala Lumpur: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah meneruskan langkah ke suku akhir Masters Indonesia selepas menewaskan lawan dari Taiwan straight set, hari ini.
Turun selaku pilihan kedua kejohanan, Pearly-Thinaah menepati ramalan untuk menang ke atas wakil Taiwan Jheng Yu Chieh-Hu Ling Fang 21-19, 21-16 pada pusingan kedua yang berlangsung Istora Senayan, Jakarta.

Menanti mereka esok adalah juara Terbuka Malaysia 2025 dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto yang turut mara selepas mengalahkan pasangan Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun 21-19, 21-17.
Pertemuan kedua-dua pasangan itu mengulangi aksi peringkat sama di Terbuka India minggu lalu yang menyaksikan Pearly-Thinaah muncul pemenang.
Sementara itu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga berjaya meneruskan kemaraan selepas menumpaskan pasangan kembar, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dari Taiwan 23-21, 21-15.
Kemaraan mereka ke suku akhir membolehkan pasangan negara itu memperbaiki pencapaian tahun laluselepas terkandas di pusingan kedua.
Wei Chong-Kai Wun akan berhadapan sama ada rakan senegara, Yap Roy King-Arif Junaidi atau gandingan berpengalaman tuan rumah, Hendra Setiawan-Mohamaad Ahsan.
Hasrat wakil tunggal negara dalam acara perseorangan wanita, K Letshanaa untuk terus melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas kepada wakil Vietnam, Nguyen Thuy Linh 18-21, 21- 17, 20-22.