Kuala Lumpur: Perlawanan Pestabola Merdeka 2024 bakal membuka tirai pada Rabu ini kemungkinan akan menjadi antara aksi paling sendu membabitkan skuad Harimau Malaya di gelanggang keramat mereka iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Hal ini kerana, walaupun perlawanan itu hanyalah berbaki tiga hari sebelum sepak mula, namun jualan tiket cukup menyedihkan apabila dikhabarkan tidak sampai 1,000 keping terjual.

Walaupun pelbagai cara sudah dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melariskan jualan tiket termasuk memperkenalkan harga kombo namun ia tidak cukup untuk menarik minat penyokong tegar hadir ke SNBJ bagi menyaksikan perlawanan itu.
Situasi terbabit diakui Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Datuk Posa Majais yang melihat jualan tiket bagi hampir semua perlawanan Pestabola Merdeka sendu walaupun perlawanan terbabit akan membuka tirai Rabu ini.
Beliau berkata, selain faktor perlawanan berlangsung pada hari bekerja, kemungkinan gerakan boikot yang dilakukan segelintir pihak menyebabkan tiket bagi perlawanan itu tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada penyokong tempatan.
“Jika diikutkan sememangnya jualan tiket tidak sampai 1,000 keping sehingga semalam. FAM sudah melakukan pelbagai cara untuk mempromosikan jualan tiket supaya penyokong hadir ke stadium.
“Skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12. Sokongan anda cukup penting dalam memastikan pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif.
“Pemain berjuang demi negara dan janganlah biarkan mereka ‘keseorangan’ di atas padang tanpa sorakan penyokong,” katanya
Sebelum itu, terdapat perkhabaran bahawa kumpulan penyokong seperti Ultras Malaysia 07 (UM 07) bahawa mereka tidak akan menyertai kejohanan Pestabola Merdeka 2024 atas beberapa kekecewaan dirasai.
Antara sebab saingan itu menjadi mangsa boikot mereka ialah berkaitan isu peletakan jawatan Kim Pan-gon selaku jurulatih kebangsaan, serta beberapa lagi faktor.
Mengikut rekod, saingan terbabit menyaksikan Malaysia akan bertemu Filipina manakala juara bertahan Tajikistan menentang Lubnan.
Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan membuat perhitungan di final pada Ahad, manakala dua pasukan yang tewas akan bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari yang sama.